PETALING JAYA: Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini mengesahkan akan mengambil alih sebuah parti politik dikenali Parti Bersama Malaysia atau Malaysian United Party (MUP).
Simbolik penyerahan parti itu yang akan diterajui Rafizi dan Nik Nazmi selepas ini, dibuat pada majlis pengumuman hala tuju politik dua pemimpin itu di sini, hari ini.
Ia sekali gus menjawab persoalan sejak beberapa minggu lalu, berkaitan hala tuju politik Rafizi dan Nik Nazmi selepas mereka dilihat agak disisihkan PKR sejak setahun lalu.
Untuk rekod, MUP ditubuhkan pada 2 Disember 2016 di Pulau Pinang.
Beberapa Ahli Parlimen PKR yang dikaitkan dengan penyokong kuat Rafizi turut dilihat hadir termasuk Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Ir Zahir Hassan.
Pendirian hala tuju terbaru dua pemimpin PKR itu sekali gus membuka persoalan besar mengenai kedudukan Ahli Parlimen disandangnya, berikutan langkah ini meletak risiko besar untuk mereka tergugur keahliannya dalam parti.
Di bawah Perkara 49A(1)(a)(ii) dan (b) Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang beralih parti juga, mana-mana wakil rakyat yang dipilih kemudian menyertai parti lain atau keahliannya tergugur secara sendiri, kerusi Parlimen disandang perlu dikosongkan.
Nik Nazmi ketika berucap pada majlis itu mengakui perjalanan baharu politik yang dipilih mereka berdua kini tidak mudah.
"Kalau dulu pada waktu orang tak kenal Rafizi, tetapi orang mahukan perubahan, maka kita mampu bina sesuatu gerakan.
"Kami kini melepaskan segala-galanya atas keyakinan kalau kita buat sesuatu yang betul, rakyat yang ramai akan bangkit dan kita akan wariskan masa depan lebih baik kepada anak cucu kita," katanya.
Beliau berkata, sistem politik sedia ada masih terperangkap dalam kitaran ketidaktentuan dan kompromi mengetepikan agenda reformasi serta perubahan yang sudah sering dijanjikan.
"Setiap hari orang bertanya, apa sudah jadi, mengapa Pakatan Harapan (PH) dan PKR begini. Mengapa kami penyokongnya diambil mudah, PH tidak mendengar pandangan rakyat.
"Mengapa PH mengkhianati prinsip asasnya, masih mengulangi kesilapan sama yang kami pilih untuk mereka betulkan, (jadi) susah nak jawab," katanya.
Nik Nazmi berkata, jika dulu PH bercakap mengenai harapan, kini mereka sendiri mula memainkan sentimen ketakutan.
"Di bandar, dibisik jika tidak undi PH, PAS akan menang. Apa yang merisaukan rakyat, terutamanya anak muda Malaysia, ialah jika pemimpin negara asyik
berdolak-dalik dan janji melakukan perubahan kerap ditangguhkan," katanya.
l

