Kenyataan Media
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)
Kenyataan Berhubung Ceramah YB Datuk Ustaz Nik Zawawi Salleh
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengambil maklum dan memandang serius polemik yang timbul susulan ceramah YB Datuk Ustaz Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh di Kuala Terengganu.
2. Setelah meneliti sedutan rakaman ceramah tersebut serta mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan, DUPP mengakui bahawa terdapat beberapa kenyataan yang tidak tepat dari sudut fakta sejarah berkaitan latar kehidupan para Sahabat Rasulullah ﷺ, khususnya Saidina Abu Bakar RA, Saidina Umar RA dan Saidina Uthman RA sebelum Islam.
3. DUPP menegaskan bahawa para Sahabat Rasulullah ﷺ merupakan generasi terbaik umat ini yang wajib dimuliakan serta dipelihara kehormatan mereka. Sebarang huraian berkaitan sejarah dan keperibadian mereka, khususnya kehidupan mereka pada zaman Jahiliyyah, hendaklah disampaikan secara tepat, beradab serta berpandukan disiplin ilmu yang sahih.
4. DUPP juga telah menyampaikan teguran serta peringatan secara dalaman kepada YB Dato’ Ustaz Nik Zawawi Salleh agar lebih cermat dan berhati-hati dalam menyampaikan fakta sejarah Islam, khususnya dalam perkara yang melibatkan kedudukan serta kemuliaan para Sahabat Rasulullah ﷺ.
5. Pada masa yang sama, DUPP menghargai teguran para asatizah dan ilmuwan yang disampaikan secara beradab, ilmiah serta bersandarkan fakta yang sahih. Budaya saling menasihati dalam perkara ilmu perlu terus diperkukuhkan demi memelihara kefahaman Islam yang benar dalam masyarakat.
6. DUPP komited untuk terus memperkemaskan panduan penyampaian dakwah agar setiap penyampaian dibuat dengan lebih teliti, berhikmah serta mematuhi disiplin ilmu dan adab Islam.
Sekian.
YB Ustaz Dato’ Haji Mohd Nor bin Hamzah
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat
12 Mei 2026 Miladi bersamaan 25 Zulkaedah 1447 Hijriah

