SEREMBAN - Seorang pemuda berusia 22 tahun dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan memiliki lebih 8,000 bahan pornografi dewasa dan kanak-kanak di dalam telefon bimbit dan peranti elektronik miliknya, Isnin lalu.
Hakim, Datin Surita Budin membuat keputusan itu terhadap Muhammad Amirul Syafiq Rahmat selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.
Beliau mengarahkan hukuman penjara berkenaan bermula daripada tarikh tangkapan 6 April lalu.
Tertuduh turut dikhendaki menjalani kaunseling pemulihan selama setahun selepas tamat hukuman, malah Surita turut berharap perbuatan terbabit tidak diulangi lagi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah didapati memiliki bahan penganiayaan seksual berbentuk video dan gambar lucah kanak-kanak di dalam telefon bimbit.
Kesalahan itu dilakukan pada 6 April 2026 di persimpangan lampu isyarat Jalan Pajam, Nilai.
Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu merayu dikenakan hukuman minimum kerana hanya membantu bapanya berniaga roti canai dan kini tinggal bersama ibu serta kakak.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi memohon hukuman penjara setimpal dengan mengambil kira fakta kes bahawa pemeriksaan kesemua peranti elektronik yang dirampas daripada tertuduh telah menjumpai lebih 8,129 bahan pornografi disyaki dewasa dan kanak-kanak.
Beliau turut memohon mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling selepas tempoh pemenjaraan.





