JAKARTA - Ketua Pejabat Staf Presiden Indonesia, Muhammad Qodari memaklumkan bahawa kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik yang sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia kini secara rasmi disahkan sebagai milik Indonesia selepas proses penetapan sempadan darat antara kedua-dua negara dimuktamadkan.
Beliau berkata, penyelesaian berkenaan merupakan hasil diplomasi damai antara Indonesia dan Malaysia yang telah disepakati bersama, sekali gus memperjelaskan garis sempadan rasmi di kawasan berkenaan serta mengukuhkan kedaulatan wilayah Indonesia.
“Penegasan sempadan darat antara Indonesia dan Malaysia di Pulau Sebatik telah selesai dilaksanakan. Penyelesaian ini merupakan bukti kejayaan diplomasi damai,” katanya pada Rabu lapor Kompas.Com.
Menurut beliau, persetujuan sempadan baharu itu menyaksikan kawasan seluas 127.3 hektar yang sebelum ini berada di bawah wilayah Malaysia kini secara rasmi menjadi sebahagian daripada wilayah Indonesia.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa pelarasan sempadan turut melibatkan perubahan kecil di pihak Indonesia, apabila kira-kira 4.9 hektar kawasan negara itu kini dimasukkan ke dalam wilayah Malaysia.
-Agensi


