KUALA LUMPUR - Saman fitnah yang difailkan oleh Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2022 berhubung dakwaan nepotisme dalam hantaran Facebook berkaitan pelantikan anaknya ke sebuah badan amanah berkaitan kerajaan telah selesai.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili bekas Perdana Menteri itu, memaklumkan perkara tersebut kepada Hakim Mahkamah Tinggi Mahazan Mat Taib dan berkata anak guamnya juga telah menyediakan satu kenyataan selepas berbincang dengan Dzulkefly.
Najib kemudian membacakan kenyataan itu.
"Saya mengambil maklum bahawa aduan beliau (Dzulkefly) di mahkamah ialah hantaran saya telah ditafsirkan seolah-olah memberi gambaran beliau mengamalkan nepotisme berhubung pelantikan anak perempuannya, iaitu Puan Nurul Iman ke Lembaga Pengarah AIM Solutions Group Bhd pada 30 April 2018 dan Lembaga Pemegang Amanah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pada 1 Oktober 2018.
"Saya menerima fakta bahawa beliau tidak terlibat dalam pelantikan itu dan tiada unsur nepotisme di pihak beliau.
"Saya ingin menjelaskan bahawa hantaran itu bukan bertujuan untuk memfitnah beliau, juga tidak bertujuan untuk membayangkan plaintif korup atau terlibat dalam nepotisme dan kronisme.
"Sebaliknya, ia bertujuan untuk mengetengahkan persepsi wujudnya dwistandard dalam kalangan parti politik.
"Hantaran itu telah disiarkan pada waktu berkenaan dalam kapasiti dan tanggungjawab saya sebagai Ahli Parlimen.
"Maksud dan tujuan sebenar hantaran itu ialah sebagai komentar politik umum mengenai isu lebih luas berkaitan tadbir urus, pentadbiran serta pelantikan ke entiti berkaitan kerajaan, yang juga perkara yang sedang menjadi wacana awam dan perbahasan politik.

