KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berjaya melelong sebelah selipar serta tuala miliknya untuk melunaskan baki kos penghakiman tertunggak berjumlah RM66,061.85 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Jamal berkata, beliau berjaya menjual dua barang iaitu sebelah selipar dan tuala yang digunakan dalam satu demonstrasi semasa Selangor berdepan masalah ketika era Datuk Seri Azmin Ali menjadi Menteri Besar.
"Alhamdulillah hari ini, dua barang itu sudah berjaya dilelong dan dibida sebanyak RM66,000.
"Sepatutnya hari ini ada lelongan mahkamah atas tuntutan Teresa Kok sebanyak RM66,000. Tetapi semalam anak saya Mohamad Amin Daniel berjaya dapatkan penangguhan arahan terbabit.
"Bagaimanapun, lelongan selipar dan tuala itu diteruskan supaya kami boleh bayar kepada Teresa Kok," katanya dalam rakaman video berdurasi tiga minit 16 saat di Facebook miliknya, hari ini.
Beliau berkata, terdapat dua pembida yang membeli barangan itu termasuk seorang individu berbangsa India dari Negeri Sembilan yang membeli tuala.
"Seorang lagi pembida dari Sabah yang membeli sebelah selipar saya dengan harga RM33,000.
"Individu itu memaklumkan akan bingkaikan selipar berkenaan dan hantar kepada pejabat Teresa Kok dalam waktu terdekat. Dia akan uruskan pembayaran (selipar) itu, hari ini," katanya.
Menurutnya, apabila bayaran itu dijangka diperolehi dalam waktu terdekat nanti, pihaknya akan menyerahkan wang berkenaan kepada Teresa. "Insya-Allah, kes ini akan kami selesaikan sebaik dapat duit," katanya.
Katanya, beliau yakin dan percaya apa yang dilakukannya hari ini adalah sesuatu untuk mendapatkan kembali maruah yang Teresa cuba cemarkan dengan mendapatkan perintah mahkamah yang sudah ada penyelesaian.
"Tetapi beliau langgar juga sehingga rumah saya dipecah masuk, dimasuki pegawai mahkamah dan anggota polis yang terpaksa menjalankan tugas mengikut perintah mahkamah.
"Jadi saya ucapkan terima kasih kepada Teresa Kok dan saya harap dengan duit sebanyak RM66,000 itu, beliau akan memulakan usaha kecil-kecilan menternak babi di rumahnya menjadi kenyataan," katanya.
Pada 28 Januari lalu, Teresa bertindak menyerahkan notis sitaan serta memecahkan tombol dan kunci pintu dapur kediaman Jamal di Ampang sebelum menukarnya kepada yang baharu.
Sebelum ini, Teresa mendapat perintah Mahkamah Tinggi di sini, untuk menyita harta alih milik Jamal bagi mendapatkan jumlah penghakiman tertunggak sebanyak RM66,061.85 sebagai kos yang belum dibayarnya.
Writ penyitaan dan penjualan harta alih itu diperoleh oleh Teresa selaku pemiutang penghakiman terhadap Jamal yang dinamakan sebagai penghutang penghakiman.




