Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Exco PAS Terengganu didakwa memperoleh suapan untuk dua anak kesayangan

 

KUALA TERENGGANU, 24 FEB 2026: Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dato’ Hanafiah Mat, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menyalah guna kuasa dengan mengarahkan dua anak lelakinya bekerja di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) masing-masing pada 2018 dan 2020.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berusia 66 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.


Mengikut pertuduhan pertama, beliau didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Exco Terengganu dan Pengerusi Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) untuk memperoleh suapan bagi anaknya, Mohd Najmi, di pejabat Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) Berhad, Teluk Kalong, Kemaman pada 15 Ogos 2018.

Beliau turut didakwa melakukan perbuatan sama bagi seorang lagi anak lelakinya, Ahmad Kamil, di lokasi sama pada 18 Jun 2020.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semalam, media melaporkan Hanafiah ditahan selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kemaman pada 11.15 pagi.

Terdahulu, beliau tiba di mahkamah pada 8.15 pagi bersama penyokong serta dua Exco kerajaan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Mohamad dan Datuk Arriffin Deraman.