Kuala Lumpur: Peguam yang mewakili suami selebriti Heliza Helmi, Datuk Mahadi Badrul Zaman yang didakwa berniaga dalam sekuriti tanpa lesen, memohon anak guamnya dibebaskan dengan jaminan kerana khuatir janggutnya akan dipotong dalam tahanan.
Peguam bela, Datuk Mohd Zamri Mohd Idrus dalam hujahan ketika memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan, memberitahu Hakim Mahkamah Sesyen Norma Ismail, jika jaminan tidak dibenarkan dan Mahadi dipenjarakan, janggut panjangnya berkemungkinan akan dipotong.
"Ini akan memberi kesan kepadanya," katanya.
Menurut Mohd Zamri, anak guamnya yang membantu pihak mengendalikan jemaah umrah, telah memberikan kerjasama sepanjang siasatan dan bukan individu yang berisiko untuk melarikan diri.
Beliau berkata Mahadi turut menanggung ibunya yang menghidap kanser dan tahap kesihatannya tidak menentu, selain menanggung keluarga mentuanya.
Terdahulu, Mahadi, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan berkenaan dibacakan terhadapnya di dua mahkamah berasingan di hadapan Norma dan Hakim Azrul Darus.
Mengikut pertuduhan, Mahadi didakwa telah menjalankan suatu urusan dalam aktiviti terkawal iaitu berniaga dalam sekuriti sedangkan syarikat AUF MBZ Consortium PLT bukan seorang pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal.
Dia juga bukan seorang orang berdaftar bagi aktiviti terkawal berniaga dalam sekuriti, yang mana tertuduh sebagai wakil syarikat itu adalah disifatkan telah melakukan kesalahan terbabit.
Mahadi didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Bayrocks Garden Waterfront Villa, Sunway South Quay, Subang Jaya antara 14 Jun 2021 hingga 15 Februari 2024.
Kesalahan adalah mengikut subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) dibaca bersama subseksyen 367(1) Akta yang sama dan boleh dihukum di bawah subseksyen 58(4) Akta yang sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Sementara itu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Sekuriti (SC), Danial Imran Nasaruddin, memohon mahkamah menimbangkan kepentingan awam serta keyakinan pelabur dalam pasaran sekuriti sebelum membenarkan jaminan terhadap tertuduh.
Beliau berkata, pendakwaan mencadangkan mahkamah mengenakan jumlah jaminan sebanyak RM250,000 dengan dua penjamin dan memerintahkan pasport diserah kepada mahkamah serta tertuduh dikehendaki melapor diri di pejabat SC sebulan sekali.
Kedua-dua mahkamah kemudian membenarkan Mahadi dijamin masing-masing sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan semua syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.
video:

