KUALA LUMPUR: Kenyataan mengejutkan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, mencetuskan tanda tanya besar mengenai masa depan kepimpinan sayap pemuda parti itu, susulan pendiriannya sebelum ini yang lantang menggesa UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Selepas cadangan berkenaan ditolak secara terbuka oleh Presiden UMNO, Akmal tampil dengan luahan yang sarat emosi, seolah-olah memberi isyarat bahawa beliau bersedia berundur demi menjaga keharmonian parti.
“Kita dah usaha sehabis baik,
kita dah sampaikan sehabis baik,”
katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Namun apa yang lebih mengejutkan, Akmal secara terbuka menyalahkan dirinya sendiri atas kegagalan meyakinkan kepimpinan tertinggi parti.
“Mungkin kelemahan datang dari diri saya sendiri. Mungkin sudah tiba masanya untuk mengundur diri,” katanya lagi.
Kenyataan itu pantas mengundang spekulasi liar dalam kalangan ahli UMNO dan pemerhati politik, dengan ramai melihatnya sebagai bayangan jelas pengunduran Ketua Pemuda UMNO, atau sekurang-kurangnya satu tekanan moral terhadap kepimpinan parti yang memilih untuk kekal bersama Pakatan Harapan dan DAP.
Luahan Akmal turut mendapat perhatian kerana ia mencerminkan kekecewaan akar umbi UMNO yang dilihat semakin resah dengan hala tuju parti, khususnya dalam isu melibatkan agama, bangsa Melayu dan maruah parti.
“Terima kasih atas suara-suara anda semua yang sayangkan perjuangan ini. Saya percaya jika niat kita baik demi agama, bangsa dan tanah air, InsyaAllah waktunya akan sampai jua,” ujar beliau.
Penulis melihat kenyataan ini bukan sekadar luahan peribadi, sebaliknya satu mesej politik berlapik bahawa golongan muda UMNO semakin terhimpit antara idealisme perjuangan dan realiti kuasa.
-Tuncarlos.com


