Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

GISB gagal ketepi keputusan fatwa Perlis, kekal menyeleweng dan sesat



KANGAR: Mahkamah Tinggi Kangar hari ini, menolak permohonan kebenaran semakan semula kehakiman keputusan Jawatankuasa Fatwa Perlis (JFP) terhadap GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasiruddin Mohd Ali, yang dikeluarkan pada Oktober 2024.

Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas memutuskan permohonan semakan kehakiman itu tidak berasas dari segi undang-undang.


Ia susulan fatwa dikeluarkan JFP pada 14 Oktober 2024 yang menjelaskan pegangan kumpulan GISBH Sdn Bhd difatwakan sebagai fahaman bersifat batiniah, menyeleweng dan sesat.

Fatwa berkenaan turut menyimpulkan model ekonomi yang diamalkan oleh GISBH Sdn Bhd bercanggah dengan prinsip ekonomi Islam kerana dikatakan mempunyai unsur penindasan dan perhambaan serta eksploitasi ke atas ahli, kanak-kanak, wanita dan keluarga.

Mohamad Abazafree ketika membaca keputusannya merumuskan Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengkaji semula fatwa yang dibuat atas kuasa prerogatif Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

"Malah, adalah berada dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah dan tidak boleh dicabar di mahkamah sivil.

"Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa berhubung perkara yang terletak dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

"Mahkamah ini turut menerima intipati fatwa berkenaan yang menyentuh soal pemahaman, ajaran, kepercayaan serta amalan pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya yang didapati mengandungi unsur penyelewengan serta bercanggah dengan ajaran Islam yang sah.

"Fatwa itu bertujuan menyekat umat Islam daripada mengamalkan fahaman, ajaran dan kepercayaan berkenaan atau mana-mana amalan yang mempunyai persamaan dengannya," katanya.

Prosiding turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambali dan Mohammad Solehheen Mohammad Zaki yang mewakili JFP serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Plaintif yang tidak hadir diwakili peguam, Zulfikri Ulul Azmi.

Mengenai permohonan dua pemohon membatalkan fatwa itu, mahkamah berpandangan tuntutan itu pada asasnya mencabar intipati fatwa, sekali gus berada di luar bidang kuasa mahkamah sivil.

"Mahkamah juga mengambil kira hujahan fatwa berkenaan tertakluk kepada kuasa prerogatif Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis selaku Ketua Agama Islam negeri itu, sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan Negeri Perlis dan Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam.

"Berpandukan Seksyen 48 Enakmen 4/2006, mahkamah menegaskan sesuatu fatwa hanya boleh diwartakan selepas mendapat perkenan Tuanku Raja Perlis, dan perkara itu adalah prasyarat wajib sebelum ia berkuat kuasa secara sah," katanya.

Mohamad Abazafree berkata, mahkamah turut merujuk keputusan terdahulu dalam kes Sulaiman Takrib melawan Kerajaan Negeri Terengganu yang mengiktiraf hal ehwal pewartaan fatwa adalah tertakluk kepada kuasa prerogatif Raja atau Sultan negeri.

Sehubungan itu, Mohamad Abazafree memutuskan permohonan semakan kehakiman berkenaan tidak berasas dari segi undang-undang dan menolak cabaran terhadap fatwa itu.