PETALING JAYA: Bekas wartawan FMT, Rex Tan ditahan polis awal pagi ini susulan soalan kontroversi dalam satu wacana awam, Isnin lalu.
Tan, 31, yang meletak jawatan pagi semalam ditahan selepas hadir ke IPD Dang Wangi.
Peguamnya Rajsurian Pillai mengesahkan Tan ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dengan siasatan difahamkan dikendali Bukit Aman, lapor Malaysiakini.
Forum bertajuk "Gaza Exposes the Complicity of International Actors" itu menampilkan ahli politik Britain, George Galloway.
Susulan kecaman meluas di media sosial, Tan tampil memohon maaf secara terbuka, dengan memberi alasan bahawa soalannya 'tidak disusun dengan baik'.
Dia juga mengakui gagal 'mengambil kira kesesuaiannya dengan wacana itu' serta dikemukakan tanpa pertimbangan mencukupi terhadap sensitiviti isu terbabit.
"Paling saya kesali tindakan menyentuh soal hubungan kaum Cina dan Melayu, sesuatu yang sama sekali tidak perlu dan tidak sepatutnya berlaku," katanya.
Tan turut mengakui beliau gagal memenuhi tahap profesionalisme yang diharapkan daripada seorang wartawan dan merayu orang ramai tidak menyerang FMT Media serta ahli keluarganya.
"Saya juga berharap tuan-tuan dan puan-puan mengambil kira persoalan saya tidak menggunakan istilah "aparteid" dan tidak pernah bertujuan menyamakan keadaan masyarakat Cina di Malaysia dengan nasib rakyat Palestin.
"Perkara ini telah saya jelaskan apabila saya diberi peluang kedua untuk bercakap, di mana saya menyatakan: "Saya sama sekali tidak berniat membandingkan keadaan semasa masyarakat Cina di Malaysia dengan nasib rakyat Palestin. Saya akui perbandingan sedemikian tidak masuk akal."
Mengulas penahanan itu, ramai netizen menganggap ia masih lagi tidak cukup kerana mengikut rekod carian di internet, Tan sememangnya seringkali dilihat amat sinis dengan Melayu dan Islam.
FMT turut mengeluarkan permohonan maaf dengan menyatakan pihaknya tidak mengetahui hasrat wartawan berkenaan untuk mengemukakan soalan itu dan tidak menyokong kenyataan terbabit.

