Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

PN lantik peguam pemerhati pantau prosiding Titah Adendum -Hamzah


KUALA LUMPUR, 23 Disember : Perikatan Nasional (PN) telah melantik peguam bagi mengikuti prosiding kes Titah Addendum di Mahkamah Tinggi sebagai peguam pemerhati (watching brief), susulan kebimbangan terhadap implikasi perundangan kes itu yang disifatkan membabitkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, PN berpandangan bahawa kuasa memberi pengampunan merupakan kuasa prerogatif tertinggi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu seperti yang diperuntukkan secara jelas di bawah Perlembagaan Persekutuan.


Menurut beliau, PN tidak mahu institusi Raja-Raja Melayu dilihat sekadar sebagai ‘rubber stamp’, sebaliknya kuasa dan prerogatif tersebut wajib dihormati dan dipelihara.

“Kuasa Baginda telah dinyatakan dengan jelas dalam Laporan Suruhanjaya Reid dan diterjemahkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Hamzah turut merujuk keputusan Ketua Hakim Negara dalam kes berkenaan yang memutuskan bahawa kuasa pengampunan adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong serta bersifat non-justiciable, sekali gus berada di luar bidang kuasa semakan kehakiman.

Dalam pada itu, PN berpandangan kekeliruan Perlembagaan dan perundangan yang timbul ketika ini berpunca daripada kegagalan Kerajaan Madani sendiri dalam menangani isu kewujudan Titah Addendum sejak peringkat awal.

“Ketidaktegasan kerajaan telah mencetuskan polemik yang akhirnya menimbulkan persoalan besar terhadap struktur asas Perlembagaan,” katanya.

Sehubungan itu, PN menggesa kerajaan agar mengkaji semula perkara-perkara berkaitan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh kuasa prerogatif pengampunan bagi memastikan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu terus terpelihara, jelas dan tidak dipertikaikan.

PN turut menegaskan bahawa pemeliharaan struktur asas Perlembagaan adalah penting demi menjamin kestabilan sistem kenegaraan dan penghormatan terhadap institusi diraja di negara ini.