KUALA LUMPUR: Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) melalui pengumumannya, malam tadi.
Peletakan jawatan Muhyiddin itu disahkan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Difahamkan, bekas Perdana Menteri itu memaklumkan mengenai perkara berkenaan melalui kumpulan WhatsApp Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti, malam tadi.
"Ya...Tan Sri memaklumkan mengenai perkara itu malam tadi," kata Tun Faisal ringkas kepada BH, di sini.
Sementara itu, sumber dalaman parti memaklumkan bahawa Muhyiddin memaklumkan beliau sudah memuktamadkan keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN.
Sumber itu berkata, pada mulanya hasrat Muhyiddin berkenaan dibantah sebahagian ahli MPT dan meminta Ahli Parlimen Pagoh itu menarik semula keputusannya.
"Tan Sri (Muhyiddin) memaklumkan kepada ahli MPT di dalam kumpulan WhatsApp MPT pada malam tadi, beliau sedia berundur diri pada bila-bila masa
"Beliau (Muhyiddin) nyatakan bahawa pandangan ini beliau sampaikan di dalam kumpulan WhatsApp Ahli Parlimen. Bagaimanapun hasrat Tan Sri dibantah oleh sejumlah MPT dan meminta beliau menariknya semula.
"Pada tengah malam, Tan Sri memaklumkan bahawa beliau sudah memuktamadkan keputusan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN dan berharap ahli MPT dapat menerima keputusannya," katanya.
Keputusan itu dibuat ketika ketegangan memuncak antara PAS dan BERSATU susulan tindakan pemimpin BERSATU di Perlis dengan apa yang didakwa sebagai memulakan percubaan rampasan kuasa sehingga menyebabkan PAS kehilangan penguasaan ke atas kerajaan negeri itu.
Perselisihan hubungan antara PAS dan BERSATU semakin ketara sehingga menyaksikan perletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang dari PAS, Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.
Sejak itu, pemimpin PAS mengancam sama ada akan meninggalkan PN dan mencari pakatan baru bersama UUMNO atau mengambil alih sendiri kepimpinan PN.
Malah, sebelum ini pun wujud beberapa desakan daripada PAS, termasuk oleh Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, yang mahu jawatan Pengerusi PN diberi kepada PAS.
Sementara itu, sumber berkata kepada BH bahawa sebahagian ahli MPT berpandangan Muhyiddin tidak wajar berundur, sebaliknya perlu kekal sebagai Pengerusi PN.
Katanya, sebahagian ahli MPT berpandangan PAS yang sepatutnya meninggalkan PN dan meneruskan hasrat mewujudkan semula Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO.
"Ada sejumlah ahli MPT yang berpandangan jalan penyelesaian yang lebih wajar adalah, Tan Sri kekal sebagai Pengerusi PN.
"Berikutan PAS sudah berulang kali menyatakan hasrat untuk meninggalkan PN dan menyertai MN bersama UMNO, sejumlah ahli MPT berpandangan eloklah PAS meneruskan hasrat mereka untuk bersama MN dan meninggalkan PN.
"Sementara PN dan Tan Sri (Muhyiddin) terus kekal bersama Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) dan meneruskan usaha yang sedang dilaksanakan.
"Mungkin dengan ketiadaan PAS, MCA, MIC dan sejumlah parti lain akan berasa lebih selesa menyertai PN," katanya.
Sumber berkata, walaupun menghormati pendirian Muhyiddin, namun ahli MPT masih berpendapat beliau wajar kekal dan terus menjadi Pengerusi PN serta mempertimbangkan semula hasrat untuk meletakkan jawatan.


