Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

PAS umum boikot jawatan EXCO, tapi kekal dalam kerajaan negeri Perlis


KANGAR, 30 Disember : Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memutuskan untuk boikot dan tidak menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Perlis yang baharu, walaupun kekal sebagai sebahagian daripada Kerajaan Negeri Perlis di bawah Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu dibuat selepas PAS Pusat meneliti dan membuat pertimbangan terhadap situasi semasa berkaitan Kerajaan Negeri Perlis dan Perikatan Nasional.


Menurut beliau, PAS kekal komited untuk meneruskan kelangsungan dan keberadaannya dalam Kerajaan Negeri Perlis selaras dengan mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), namun semua wakil PAS dalam EXCO akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti.

“PAS tidak akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang akan dibentuk oleh Menteri Besar Perlis yang baharu, dan semua anggota EXCO daripada PAS akan melepaskan jawatan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau menjelaskan, tindakan tersebut adalah seiring dengan peletakan jawatan Menteri Besar Perlis sebelum ini, selain mencerminkan pendirian prinsip parti dalam menghadapi perkembangan politik negeri berkenaan.

Dalam kenyataan sama, PAS turut menyeru semua pihak dalam Perikatan Nasional agar bermuhasabah dan mengambil iktibar daripada situasi yang berlaku, selain mengorak langkah memperkukuh semula kepercayaan rakyat terhadap gabungan itu.

PAS juga menyatakan kesediaan untuk terus menerajui dan memperkasakan Perikatan Nasional, khususnya dalam memperkukuh organisasi serta persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Pada masa sama, Takiyuddin menegaskan komitmen PAS untuk terus menghormati undang-undang, prinsip demokrasi, konsep Raja Berperlembagaan serta kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, demi kepentingan negeri dan rakyat.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Pejabat Agung PAS hari ini dan bertarikh 09 Rejab 1447 Hijrah bersamaan 30 Disember 2025.