![]() |
| Mohamad Hasan(kiri), Datuk Jalaluddin Alias (kanan) |
SEREMBAN: Ketua Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Jalaluddin Alias menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen DAP, Yeo Bee Yin yang menggunakan perkataan “celebrate” ke atas keputusan ke atas DS Najib Razak sebagai sangat tidak wajar, biadap dan bercanggah dengan semangat perpaduan Kerajaan Perpaduan.
Menyahut kenyataan tersebut, Jalaluddin secara sinis berkata, “Jom Yeo Bee Yin, berita baik untuk Negeri Sembilan, kita tengok makna ‘celebrate’ di Negeri Sembilan,”
Menurut beliau, Yeo Bee Yin sepatutnya menunjukkan kematangan politik, bukannya mempamerkan sikap dendam, lebih-lebih lagi dalam kerangka aspirasi permuafakatan Kerajaan Perpaduan.
“Ini cerminan ‘Perpaduan’ kah jika begini?” soalnya.
Beliau turut menegaskan bahawa keadilan adalah satu proses perundangan yang serius dan tidak wajar dijadikan bahan sindiran, pesta atau ejekan terhadap individu yang menerima hukuman mahupun penyokong mereka.
Jalaluddin berkata, kenyataan tersebut menimbulkan dua masalah utama, iaitu kurang empati serta berpotensi mencetuskan polarisasi dalam kalangan rakyat.
“Menghina atau bersorak atas nasib malang seseorang tidak selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang parti Yeo Bee Yin sendiri perjuangkan,” katanya.
Tambah beliau, kenyataan sinis sedemikian hanya memecah-belahkan rakyat dan menggugat usaha perpaduan nasional, sedangkan Yeo Bee Yin sendiri sering menyeru agar rakyat tidak berpecah belah.

