KUALA LUMPUR, 31 Dis 2022 – Seorang pensyarah dan penyelidik sejarah tempatan Professor Dr Solehah Yaacob tampil menjelaskan dakwaan yang mengaitkan namanya dengan kenyataan “Orang Rom belajar membina kapal daripada orang Melayu” selepas menjadi tular di media sosial dan media arus perdana.
Dalam satu kenyataan rasmi, beliau menjelaskan bahawa isu tersebut berpunca daripada syarahannya di Masjid Gombak Setia pada 31 Disember 2022 yang membincangkan hubungan sejarah antara bangsa Rom dan dunia Melayu.
Katanya, kenyataan itu telah disalah tafsir hingga mencetuskan pelbagai reaksi serta ejekan di media sosial.
Menurut beliau, hujah yang dibentangkan adalah berdasarkan hipotesis penyelidikan yang telah dibina selepas menamatkan pengajian PhD pada tahun 2005, khususnya mengenai silsilah keturunan manusia daripada Nabi Adam a.s. hingga Nabi Muhammad s.a.w. dan kaitannya dengan asal-usul tamadun dunia.
“Dapatan penyelidikan saya menunjukkan pelayaran maritim utama pertama dalam sejarah manusia berlaku pada zaman Nabi Nuh a.s., melibatkan kawasan dunia yang amat luas,” katanya.
Beliau turut memetik pandangan ahli teologi British, Thomas Brightwell, yang menyatakan bahawa orang Melayu merupakan bangsa tersendiri yang muncul selepas peristiwa Banjir Besar Nabi Nuh a.s., dan mungkin antara pelayar awal dalam sejarah manusia.
Kajian itu turut disokong oleh beberapa rujukan ilmiah antarabangsa, termasuk karya P.Y. Manguin, R.L. Smith, serta manuskrip klasik The Pentateuch oleh Brightwell.
Pensyarah itu menjelaskan bahawa Kerajaan Rom tidak terlibat dalam aktiviti maritim besar sebelum tahun 31 S.M., malah bangsa Rom hanya mula mengembangkan teknologi pelayaran selepas penaklukan mereka ke atas Mesir. Sebelum tempoh itu, katanya, Rom belum memiliki kemampuan pelayaran jarak jauh.
Namun begitu, bangsa Rom, Viking dan Slav diketahui sering mendapatkan besi berkualiti tinggi dari luar, termasuk wilayah yang disebut oleh sumber Arab sebagai Qal‘a al-Rūmī atau al-Sharbuqān, yang dipercayai merujuk kepada kawasan Kedah purba di barat laut Semenanjung Tanah Melayu.
Beliau turut memetik pandangan ulama klasik seperti al-Biruni dan ahli falsafah al-Kindi, yang menyatakan bahawa seni peleburan besi dan teknologi logam tinggi pernah berkembang di wilayah tersebut.
“Dalam konteks sejarah, tidak mustahil teknik pembinaan kapal bangsa Melayu dan hubungan awal mereka dengan dunia India serta Mediterranean telah mempengaruhi pembangunan teknologi maritim bangsa Rom,” jelasnya.
Beliau menambah, berdasarkan rekod arkib di muzium Australia, bukti menunjukkan bahawa pembina kapal laut terbaik berasal daripada bangsa Austronesia (Indonesia moden). Bahkan, laporan akhbar lama turut merekodkan kenyataan bahawa:
“The first man to sail around the world was a Malay.”
Pensyarah itu berharap penjelasan ini dapat memperbetulkan salah faham dan membuka ruang perbincangan ilmiah mengenai sejarah hubungan maritim antara dunia Melayu dan tamadun Rom.
-TunCarlos
BACA: Prof Dr Solehah buat laporan polis





