CYBERJAYA 9 November 2025 – Profesor Dr. Solehah Yacob dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menafikan dakwaan yang mengatakan beliau pernah menyatakan bahawa Sayyidatina Siti Khadijah (r.a.) berasal dari dunia Melayu.
Menurutnya, dakwaan tersebut muncul selepas satu rakaman video tular di media sosial yang telah disunting serta diambil di luar konteks, menyebabkan berlaku salah faham terhadap pandangannya.
“Saya telah membuat laporan polis berhubung perkara ini dan menafikan secara tegas bahawa saya pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian,” jelasnya.
Beliau turut menyediakan pautan video asal yang tidak disunting untuk rujukan umum, serta pautan versi suntingan yang dipercayai mencetuskan kekeliruan:
Video asal tidak disunting: https://www.facebook.com/share/v/EzDzPgkALh6FAWqM/?mibextid=oFDknk
Video yang telah disunting: https://vt.tiktok.com/ZSycCemrWx/
Profesor Dr. Solehah berharap penjelasan tersebut mampu menghentikan fitnah, penghinaan, penyelewengan maklumat dan ejekan yang berlegar di media sosial dan platform lain.
Dalam masa sama, beliau turut menekankan bahawa hipotesis akademiknya mengenai sejarah bangsa Melayu dan pengaruh Rom merupakan kajian ilmiah yang terbuka kepada perbezaan pendapat. “Dalam tradisi akademik dan Islam, kita diajar untuk menghormati perbezaan pandangan,” katanya.
Sebelum ini, beliau juga menegaskan pendirian bahawa tradisi Islam tidak menganiaya ilmuwan kerana pandangan mereka, serta merujuk kes sejarah Giordano Bruno sebagai perbandingan.
-TunCarlos

