PENAMPANG: Perikatan Nasional (PN) terbuka bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk DAP bagi menubuhkan kerajaan negeri Sabah selepas keputusan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) diketahui pada 29 November ini.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkata pihaknya bersedia membentuk kerjasama jika PN tidak mendapat kerusi mencukupi bagi menubuhkan kerajaan.
"Kita terbuka bekerjasama dengan parti lain nanti, iaitu parti yang sealiran, seideologi. Jadi kita tiada masalah, yang penting mereka sedia bekerjasama dengan kita.
"Kalau dapat dilakukan, maka mudah untuk kita bentuk kerajaan nanti," katanya pada sidang media selepas mengumumkan senarai calon PN, di sini, hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, banyak parti yang menyatakan kesediaan bekerjasama dengan PN, namun beliau enggan mendedahkan mana-mana parti yang dimaksudkannya.
"Banyak yang mendekati kita, saya tak sebut siapa tapi tak payahlah saya umun. Apa yang saya boleh cakap ialah ada perbincanganan strategik bagaimana untuk membentuk kerajaan dan kongsi kuasa," katanya.
Terdahulu, beliau berkata daripada 40 calon PN, lima mewakili PAS dan tiga mewakili Gerakan, manakala selebihnya BERSATU Sabah.
Daripada jumlah itu, katanya 90 peratus adalah muka baharu dengan lima orang wanita ditampilkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Banggi, Sulaman, Darau, Sungai Sibuga dan Silam.
"Muka baharu merangkumi 90 peratus daripada keseluruhan calon PN dengan masing-masing ada rekod cemerlang dan profesion yang baik.
"Sebelum dipilih, mereka sudah melalui proses saringan dan apa yang penting kita letak mereka sebagai calon," katanya.
Beliau berkata, jumlah kerusi yang ditandingi PN juga adalah munasabah bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan jika memenangi semua kerusi ditandingi.
"Kerusi yang kita pilih ini adalah berdasarkan maklumat di lapangan dan kita tidak kisah berdepan banyak parti, lebih banyak lebih meriah," katanya.
Bagaimanapun, katanya ada satu lagi kerusi bakal ditandingi PN iaitu Sindumin, namun belum diumumkan calon.
Sementara itu, Pengerusi PN Sabah yang juga Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee bakal bertanding di kerusi DUN Sugut, manakala timbalannya, Datuk Dr Aliakbar Gulasan yang juga Pesuruhjaya PAS Sabah di kerusi DUN Karambunai.
Ronald pernah bertanding di kerusi DUN Sugut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 1990 atas tiket Angkatan Keadilan Rakyat (AKAR), tapi tewas di tangan calon Parti Bersatu Sabah (PBS) pada masa itu.
Selepas itu, bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu bertanding di kerusi Parlimen Beluran atas tiket Barisan Nasional (BN) pada 1999 setelah menyertai UMNO dan menyandang kerusi itu hingga sekarang.
Pada PRN17 nanti, Ronald bakal mencabar penyandang kerusi DUN Sugut, Datuk James Ratib yang bakal mempertahankan kerusi itu atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Terdahulu, Ronald berkata beliau yakin pilihan raya kali ini dapat meletakkan semula PN di Sabah setelah ditinggalkan bekas 17 bekas pemimpinnya yang memenangi kerusi atas tiket PN pada PRN 2020.

