SHAH ALAM: Konvensyen tahunan MIC memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada parti itu akan keluar atau kekal dalam Barisan Nasional (BN), dan menyerahkan perkara tersebut kepada Presiden parti SA Vigneswaran serta jawatankuasa kerja pusatnya (CWC).
Difahamkan bahawa keputusan tidak akan dibuat hari ini.
Terdahulu, Timbalan Presiden MIC M Saravanan membentangkan tiga usul pada konvensyen ke-79 parti itu, termasuk keluar daripada BN dan memohon secara rasmi untuk menyertai gabungan pembangkang Perikatan Nasional (PN).
Walaupun usul-usul tersebut dibahas perwakilan namun, tiada undian dijalankan kerana konvensyen bersetuju untuk menyerahkan keputusan itu kepada Vigneswaran dan kepimpinan tertinggi MIC.
Spekulasi mengenai hala tuju MIC berlarutan selama beberapa bulan, dengan parti itu meluahkan rasa tidak puas hati terhadap layanan yang didakwa tidak adil oleh parti utama BN, Umno.
Pengerusi BN merangkap Presiden Umno, Zahid Hamidi, sebelum ini berkata gabungan itu tidak akan menghalang MIC atau mana-mana komponen lain daripada keluar.
Terdahulu hari ini, Vigneswaran berkata pada perhimpunan agung parti bahawa MIC sampai ke persimpangan dalam perjalanannya bersama BN, dan terpulang kepada perwakilan untuk menentukan arah serta masa depannya.

