GEORGE TOWN – [DIKEMAS KINI] Polis mengesahkan telah menemui senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian pembunuhan seorang wanita dan anak angkatnya di rumah sewa mereka di Kampung Sekolah, Juru pada Sabtu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, penemuan itu dibuat hasil siasatan lanjut di lokasi kejadian.
Menurutnya, senjata berkenaan dijumpai di bahagian belakang rumah mangsa.
“Ya, saya boleh sahkan bahawa polis telah menemui senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
“Namun, siasatan masih dijalankan dan saya tidak boleh mengulas lanjut mengenai jenis atau keadaan senjata itu,” katanya pada Isnin.
Dalam pada itu, Azizee berkata, dua lelaki, termasuk seorang warga asing ditahan bagi membantu siasatan.
“Kedua-dua lelaki berkenaan berusia 40 tahun dan ditahan secara berasingan di Bukit Mertajam untuk membantu siasatan.
“Mereka akan dibawa reman di Mahkamah Bukit Mertajam pada esok (Selasa),” tambahnya.
Selain itu, beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek lain yang terlibat dalam kejadian menyayat hati itu.
Terdahulu, mayat wanita dan anak perempuannya dibawa keluar dari rumah sewa mereka kira-kira jam 1.45 pagi selepas pasukan forensik dan patologi selesai menjalankan siasatan di lokasi.
Pemeriksaan di sekitar rumah turut dilakukan pihak polis bagi mencari bahan bukti yang dapat membantu siasatan kes berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan mayat wanita berusia 51 tahun bersama anak perempuannya, berusia 11 tahun, ditemui oleh suaminya pada jam 7.30 malam di rumah sewa mereka di Kampung Sekolah, Juru.
Difahamkan, mayat wanita itu ditemui di bahagian dapur tingkat bawah rumah berkenaan dalam keadaan menyayat hati dengan kepalanya hampir putus manakala anaknya ditemui meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah.

