Hogoh Jelai 30k: Kehadiran penyokong tak capai sasaran, isyarat penurunan sokongan PN
Labels:
Politik
KUANTAN - Program Himpunan ‘Hogoh Jelai’ anjuran Perikatan Nasional (PN) yang berlangsung di Jalan Betau – Cameron Highlands, Sungai Koyan, Lipis pada Ahad dilihat gagal apabila jumlah kehadiran penyokong jauh lebih rendah daripada jangkaan awal.
Laporan PahangMedia menyebutkan, hanya kira-kira 2,500 orang yang hadir pada program itu berbanding sasaran awal 30,000 orang dalam kalangan penyokong PN.
Menurut laporan itu, program yang dihadiri beberapa pemimpin PN termasuk Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang gagal menarik kehadiran ramai seperti yang diharapkan.
Bukan itu saja, program tersebut tidak mendapat sokongan kehadiran dari pemimpin tertinggi Bersatu seperti Muhyiddin Yassin, Hamzah Zainuddin, Azmin Ali , Tun Faisal dan lain lagi.
Jelasnya, pemerhati politik tempatan juga menyifatkan kegagalan Hogoh Jelai sebagai isyarat penurunan sokongan terhadap PN di Pahang dan mungkin berdepan cabaran besar untuk mempertahankan momentum politik di negeri ini.
Menurut PahangMedia lagi, beberapa penduduk Jelai yang ditemui mengakui mereka kini lebih menumpukan kepada isu ekonomi berbanding menghadiri program politik yang dianggap tidak membawa manfaat langsung kepada rakyat.
Jesteru katanya, kegagalan 'Hogoh Jelai' satu tamparan kepada PN yang sebelum ini mendakwa sokongan terhadap parti itu semakin meningkat di Pahang.
"Hakikatnya, sambutan lesu di Jelai memberi gambaran bahawa pengaruh parti tersebut mungkin tidak sekuat yang digambarkan," ujarnya.
Sebelum ini,Timbalan Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Ab Hamid Mohd Nazahar menyifatkan ''malu mata politik' mendorong ramai pengundi Pas sendiri segan untuk hadir ke perhimpunan itu.
Katanya, situasi itu mungkin kerana penyokong PN sendiri mengakui secara diam-diam kewibawaan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai yang berprestasi tinggi.

