GSF: Semua sukarelawan Malaysia termasuk Ardell Aryana selamat, akan dibawa pulang segera -Wisma Putra
Labels:
Isu Semasa
Kuala Lumpur: Semua 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) disahkan berada dalam keadaan selamat dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga.
Wisma Putra melalui kenyataan memaklumkan, kerajaan sedang mengambil langkah sewajarnya bagi menjamin keselamatan serta memastikan pembebasan segera peserta GSF, terutama 15 rakyat tempatan yang ditahan Israel pada hari ini.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan sudah berhubung dengan beberapa pemimpin dan rakan sejawat negara sahabat, termasuk Amerika Syarikat bagi mendapatkan kerjasama mereka.
"Pada masa yang sama, Menteri Luar sudah mengeluarkan arahan kepada Perwakilan Malaysia di rantau berkenaan, termasuk Kedutaan Besar Malaysia di Amman dan Kaherah, untuk mendapatkan kerjasama daripada Kedutaan negara ASEAN di Tel Aviv.
"Kementerian ini telah menerima maklumat bahawa semua yang ditahan berada dalam keadaan selamat sihat dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga.
"Kementerian ini akan memastikan mereka menerima sokongan serta bantuan konsular yang diperlukan bagi menjamin kepulangan selamat mereka ke Malaysia," katanya dalam kenyataan, malam ini.
Untuk rekod, terdapat empat negara ASEAN yang mempunyai kedutaan di Tel Aviv iaitu Thailand, Singapura, Myanmar dan Filipina.
Menurutnya kenyataan itu lagi, Kerajaan Malaysia akan terus komited menjaga keselamatan rakyat tempatan di luar negara.
Dalam pada itu, kerajaan turut menegaskan bahawa penahanan peserta GSF adalah tidak sah dan menuntut agar mereka dilayan selaras dengan undang-undang antarabangsa serta dibebaskan dengan segera.