Ibu kepada pelajar sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya yang maut selepas didakwa ditikam oleh rakan sekolahnya yang berusia 14 tahun, berkata anak perempuannya, Yap Shing Xuen, mengalami 200 tikaman dalam kejadian itu.
Pada sidang media yang diadakan di upacara penghormatan terakhir anak perempuannya, Wong Lee Ping berkata banyak maklumat palsu telah tersebar di media sosial sejak kejadian tragik itu.
"Kami tahu laporan dalam talian mengatakan 50 tikaman, tetapi sebenarnya anak perempuan saya mengalami 200 tikaman. Dia 200 luka tikaman. Bukan tetakan, tetapi tikaman.
"Dari bahagian atas kanan turun ke kawasan kaki," kata Wong sambil menambah bahawa kecederaan terutamanya di bahagian kanan badan Yap.
Katanya, dia difahamkan suspek didakwa melompat masuk ke dalam tandas dari atas ketika Yap berada di dalam dan telah mengunci pintu.
"Dia melompat turun dari atas ke dalam bilik dan menikamnya. Anak perempuan saya menjerit kuat; ada orang dengar," dakwa Wong, sambil menambah bahawa penyerang telah melarikan diri ketika ada orang lain tiba.
"Pada masa guru itu datang dan memaksa pintu dibuka, dia (anak saya) sudah tiada (meninggal dunia)," kata Wong.
Pada 14 Okt lepas, Yap mati ditikam di sekolahnya, dengan laporan menyatakan cinta yang tidak berbalas adalah antara aspek yang disiasat.
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar sejak itu mengesahkan suspek kes itu, yang merupakan rakan sekolah Yap, tidak pernah meluahkan perasaan terhadapnya.
Dia berkata suspek juga menjalani kaunseling untuk prestasi akademiknya, bukan untuk bantuan psikologi, dan pihak sekolah tidak mengetahui masalah tingkah laku remaja itu.
The New Straits Times melaporkan Shazeli berkata bahawa permainan video ganas dan kandungan media sosial tertentu mungkin memainkan peranan dalam mempengaruhi suspek.
Beberapa ahli parlimen, iaitu Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Penasihat DAP Lim Guan Eng dan isterinya Betty Chew, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng serta Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin hadir di upacara itu di Nirvana Centre Kuala Lumpur (Nirvana 2).