Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

1MDB-Tanore: Kenyataan Penuh Najib Razak di Mahkamah

 


Teks penuh kenyataan Najib Razak di mahkamah pagi tadi. 21 oktober 2025

"Perbezaan antara pendakwaan terhadap ahli politik dan pendakwaan bermotif politik tidak selalu mudah dilihat, tetapi itu tidak bermaksud kedua-duanya sama. Saya harap selepas hujahan bertulis ini, semua dapat membezakan antara keduanya.

Bayangkan seorang pegawai awam menerima RM100 juta ke dalam akaun luar negara. Atau seorang pegawai awam membeli lukisan Picasso bernilai jutaan ringgit semasa masih bergaji daripada badan awam. 


Apa berlaku jika pegawai awam menentang titah Yang di-Pertuan Agong? Atau apabila pegawai awam memindahkan USD700 juta ke akaun tidak sah hanya berdasarkan mesej BlackBerry Messenger? 

Bayangkan juga pegawai awam itu memindahkan lagi USD330 juta ke akaun sama.

Bagaimana pula jika pegawai awam menandatangani kelulusan bernilai USD1.6 bilion dalam masa 24 jam tanpa tahu tujuannya, kemudian menyembunyikan ke mana dana itu pergi? Atau memindahkan USD175 juta tanpa kebenaran? Atau menerima “pinjaman” USD200 ribu dan tambahan USD800 ribu ke akaun luar negaranya?

Siapa pegawai awam itu, dan apa nasibnya? Pegawai itu bukan saya. Dan apa berlaku kepada mereka? Tiada apa-apa — kerana merekalah saksi pendakwaan terhadap saya dalam perbicaraan ini.

Dan bagaimana keterangan mereka dilayan? Suci, 100% dipercayai.

Penerima RM100 juta dan pembeli lukisan Picasso itu ialah Jasmine Loo, peguam 1MDB. Individu yang melanggar titah Agong dan memindahkan USD700 juta serta USD330 juta kepada Jho Low ialah bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral. Hazem Abdul Rahman, CEO selepas itu, memindahkan USD175 juta ke syarikat palsu. 

Dana USD1.6 bilion pula dialihkan oleh CFO Azmi Tahir. Pegawai yang menerima USD1 juta daripada Jho Low ialah pegawai saya sendiri, Amhari Efendi.

Mereka semua dianggap saksi yang kredibel dan tiada motif peribadi. Anehnya, walaupun salah laku mereka jelas, tiada seorang pun didakwa.

Malah, mereka mengaku melaksanakan arahan rahsia Jho Low melalui saluran tidak rasmi dan memadam bukti perbualan. Di mahkamah, mereka mendakwa semua arahan Jho Low datang daripada saya.

Walaupun mereka melanggar arahan lembaga, membuat pembayaran tanpa kebenaran bernilai berbilion ringgit, dan menerima imbuhan haram — mahkamah tetap percaya mereka. 

Asalkan mereka bersaksi menentang saya, apa pun kesalahan mereka, tetap dianggap boleh dipercayai.

Dari hujahan ini jelas bahawa saksi pendakwaan dipilih bukan kerana kebenaran, tetapi kerana kesediaan mereka untuk bercakap seperti yang dikehendaki.

Saya dituduh menandatangani dokumen yang tidak pernah dikemukakan di mahkamah. Dokumen itu bukan hilang — ia memang tidak wujud, tapi kerana saksi kata saya menandatanganinya, maka automatik dianggap sah.

Saya juga didakwa kerana melaksanakan arahan Agong dan Kabinet dalam menyediakan memorandum jaminan kerajaan untuk TIA. Tuduhan itu menyatakan saya menyalahgunakan kuasa kerana menurut arahan rasmi Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Saya turut dituduh meluluskan keputusan lembaga pengarah, walaupun kelulusan itu adalah tanggungjawab statutori di bawah Akta Syarikat.

Hujahan ini juga menunjukkan bahawa kepercayaan saya terhadap derma Arab Saudi bukan rekaan. Rekod SWIFT membuktikan pemindahan wang dibuat oleh Kementerian Kewangan Riyadh melalui bank pusat Saudi.

Pegawai SPRM sendiri mengesahkan lawatan ke Riyadh pada November 2015, di mana keluarga diraja Saudi mengesahkan derma yang dijanjikan oleh Raja Abdullah serta empat surat derma dan transaksi masuk ke akaun saya. 

Semua perbelanjaan dibuat secara cek untuk tujuan politik dan kebajikan, bukan untuk membeli lukisan atau harta mewah.

Tambahan pula, saya telah memulangkan USD620 juta yang tidak digunakan kepada akaun sumber, dengan kelulusan Bank Negara. 

Adakah seorang “perasuah” akan memulangkan semula wang yang dikatakan hasil rasuahnya sendiri?

Pendakwaan pula bergantung pada keterangan hearsay tanpa usaha mencari saksi sebenar seperti Jho Low, Nik Faisal, atau Terence Geh. Tiada bukti mereka dicari pun, namun mahkamah tetap membenarkan kenyataan mereka diterima.

Jelas, keterangan hearsay ini diterima semata-mata untuk mengesahkan dakwaan bahawa semua arahan datang daripada saya — walaupun saya tidak pernah diberi peluang menyoal mereka di mahkamah.

Akhirnya, saya didakwa sendirian, sementara mereka yang benar-benar terlibat bebas menjadi saksi pendakwaan.

Pendakwaan terhadap saya menunjukkan keadilan yang pincang — tuduhan digubal secara longgar, mengelirukan, dan berat sebelah.

Malah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, mengaku di mahkamah bahawa beliau pernah dua kali ditekan oleh Tun Mahathir untuk mempercepatkan siasatan dan pendakwaan terhadap saya — bukti jelas campur tangan politik.

Saya tidak menuntut kekebalan, cuma keadilan yang sama rata di sisi undang-undang.

Seperti diingatkan oleh Tun Suffian Hashim dahulu, apabila mahkamah tunduk kepada kuasa politik, kepercayaan rakyat akan hilang. Keputusan mahkamah ini bukan sekadar tentang saya — ia akan menentukan jenis keadilan yang akan kekal di negara ini.

..........................................
Mohd Najib Bin Hj Abd Razak
26 September 2025
Kompleks Penjara Kajang