JOHOR BAHRU - Seorang wanita dan lelaki ditemukan maut dengan kesan tikaman dan kelar pada badan di Jalan Austin Heights 8/3 di sini pada Isnin.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, pihaknya menerima laporan mengenai perkara tersebut pada jam 7.47 malam.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati kejadian melibatkan wanita warga asing berusia 33 tahun dipercayai dibunuh oleh bekas teman lelakinya yang juga seorang lelaki warga asing.
“Suspek turut ditemui di lokasi sama dan dipercayai membunuh diri selepas kejadian.
"Polis turut menemukan sebilah pisau lk 24 sentimeter (cm) di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah Raub, kejadian itu disaksikan oleh seorang wanita warga asing berusia 23 tahun dan seorang lelaki tempatan berumur 27 tahun yang turut cuba menghalang suspek daripada terus menyerang mangsa.
Jelasnya, kedua-dua saksi tersebut cedera dan kini sedang dirawat di hospital dan punca kejadian masih dalam siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 kali sebatan, jika disabitkan kesalahan," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323 bagi membantu siasatan, tambahnya.

