KOTA KINABALU: Allahyarham Zara Qairina Mahathir tidak jatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari koridor di tingkat tiga bangunan asrama sekolahnya dalam kejadian awal pagi 16 Julai lalu.
Pendedahan itu dibuat Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu ketika membacakan keterangan bertulisnya pada inkues kematian arwah Zara Qairina di Mahkamah Koroner, di sini, petang ini.
Beliau berkata, perkara itu berdasarkan pemeriksaan lokasi dan perbandingan ketinggian mangsa dengan ketinggian pagar konkrit koridor yang tidak memungkinkan arwah terjatuh sendiri atau ditolak.
"Berdasarkan pemeriksaan lokasi di asrama si mati, ketinggian dari lantai ke palang besi mendatar paling atas yang dipasang pada pagar konkrit tingkat tiga ialah 118 sentimeter (cm).
"Saya dimaklumkan ketinggian antemortem si mati ialah 154 cm. Perbezaan antara ketinggian si mati dan palang besi atas ialah 36 cm yang mana ketinggian palang melebihi tiga perempat daripada tinggi si mati dan berada di atas pusat graviti badannya (pada wanita, pusat graviti biasanya di bahagian pelvis, sedikit di bawah pusat).
"Berdasarkan ukuran ini, pada pendapat saya, adalah tidak mungkin si mati terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari kedudukan berdiri di tepi pagar konkrit," katanya.
Dr Jessie berkata, berdasarkan ketinggian dan lebar pagar konkrit, ketinggian palang besi mendatar dan tinggi antemortem si mati, adalah mungkin beliau memanjat pagar konkrit, melintasi palang besi dan berdiri di atas pagar konkrit tersebut.
![]()  | 
| keadaan koridor asrama sekolah Zara | 
"Saya telah menyediakan laporan pemeriksaan lokasi bersama laporan pemeriksaan bedah siasat," katanya.
Pandangan beliau itu, katanya dibuat selepas diminta memberi pandangan profesional mengenai kecederaan antemortem si mati pada 2 Ogos lalu.


