Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan turut menerima emel ugutan video lucah palsu seperti yang diterima sekurang-kurangnya 10 orang ahli politik lain.
Beliau mendedahkan hanya menyedari kiriman emel itu ketika sedang bersarapan di kawasannya, hari ini.
"Sebenarnya ada lagi MP (Ahli Parlimen) yang menerima emel ugutan itu. Mungkin mereka tidak sedar sahaja sebab emel masuk ke kotak 'spam' seperti yang berlaku kepada saya," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, emel diterima sama seperti diterima ahli politik lain yang mendakwa dihantar seorang 'penyiasat persendirian' yang kononnya memiliki bahan bukti dan menuntut bayaran AS$100,000 (kira-kira RM420,000).
"Turut disertakan kod QR untuk bayaran dan gambar atas katil. Gambar yang saya terima ini kelihatan sama dengan gambar yang diterima oleh MP lain," katanya.
Katanya, beliau akan merujuk kes itu kepada pihak berkuasa.
Beliau juga yakin rakyat tahu bahawa gambar dan video itu adalah palsu.
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima empat laporan polis daripada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung ugutan melalui penyebaran video lucah palsu.
Laporan dibuat Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Nelson W Angang; ADUN Kulim, Wong Chia Zhen dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk M Kumar dilaporkan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.