Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Rusuhan Kg Sungai Baru: Ketua PAS Sg Buloh ditahan polis

 

KUALA LUMPUR: Ketua PAS Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad ditahan polis berkaitan isu rusuhan penduduk Kampung Sungai Baru di kediamannya, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, mengesahkan penahanan berkenaan.


"Ya, saya sahkan penahanan ini bersabit kes Kampung Sungai Baru tempoh hari. Kes disiasat mengikut Seksyen 186, Seksyen 353 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.

Untuk rekod, Seksyen 186 Kanun Keseksaan merujuk kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 353 berkaitan penggunaan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam, manakala Seksyen 324 pula membabitkan kesalahan menyebabkan cedera menggunakan senjata atau benda berbahaya.

Terdahulu, tular di beberapa laman media sosial rakaman video berhubung penahanan Zaharuddin kira-kira jam 1.30 pagi tadi oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di kediamannya di Sungai Buloh.

Sebelum ini, media melaporkan tujuh lelaki ditahan selepas disyaki terbabit dalam provokasi ketika proses pelaksanaan writ saman milikan kosong kediaman di Kampung Sungai Baru, di sini, pada 11 September lalu.

Semua suspek berusia antara 15 hingga 52 tahun ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman.

Sulizmie cedera ketika mengawal keadaan sewaktu operasi pengosongan bangunan di lokasi.