Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tekan Muhyiddin serah jawatan pada Hamzah, Wan Saiful dipanggil Lembaga Disiplin


 Anggota Majlis Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan hari ini mengesahkan terdapat usaha untuk mengumpul akuan bersumpah (SD) daripada ketua-ketua bahagian parti yang dikatakan mahu mendesak perubahan kepimpinan menjelang mesyuarat agung tahunan Bersatu pada 9 Sept.

Bagaimanapun, dia mendakwa naratif itu diputar belit oleh pihak tertentu untuk mencemarkan niat sebenar di sebaliknya.

"Bahagian tentang pengumpulan SD adalah benar, tetapi saya percaya pihak tertentu telah memutarbelitkan cerita tentang niat sebenar dan apa yang ingin dicapai.

"Biar saya berjumpa Lembaga Disiplin parti dan jelaskan kepada mereka terlebih dahulu sebelum mengulas lanjut," katanya.

“Mengumpul SD (itu) betul. Yang itu saya rasa biar saya pergi Lembaga Disiplin dulu. Lepas itu baru saya boleh komen lanjut. Biar Lembaga Disiplin dulu dengar penjelasan,” katanya.

Malaysiakini menghubungi anggota parlimen Tasek Gelugor pagi tadi untuk mengesahkan kesahihan mesej Whatsapp yang tular yang mendakwa dia dipanggil untuk hadir di hadapan badan disiplin Bersatu hari ini.

Menurut mesej itu, Wan Saiful disiasat bawah Perkara 23 Perlembagaan Bersatu kerana didakwa terlibat dalam pengumpulan SD daripada pemimpin Bersatu le arah peralihan kepimpinan - daripada presiden Muhyiddin Yassin kepada timbalannya Hamzah Zainudin.

Wan Saiful mengesahkan dia dijadualkan hadir di hadapan lembaga itu pada tengah hari ini.

“Bukan seperti yang dimanipulasi sesetengah pihak dan ini akan diperjelaskan kepada Lembaga Disiplin. Saya akan jelaskan kepada Lembaga Disiplin. 

“Saya rasa Lembaga Disiplin ini ada, saya pun tidak tahu siapa ahli Lembaga Disiplin. Harap di kalangan mereka (buat) pertimbangan yang rasional,” katanya.

Awal bulan ini, Malaysiakini melaporkan tentang cubaan beberapa pemimpin parti untuk menekan Muhyiddin supaya menyerahkan teraju Bersatu kepada Hamzah, yang merupakan ketua pembangkang.

Dalam perkembangan terkini, Wan Saiful memberitahu Malaysiakini bahawa sesi pada hari ini ditangguhkan.

Perebutan kuasa itu nampaknya mendapat sokongan selepas kira-kira 120 ketua bahagian Bersatu yang dikatakan menandatangani SD menyokong Hamzah.

Kekecohan berlaku semasa ucapan dasar Muhyiddin di perhimpunan agung tahunan Bersatu apabila dia mendakwa terdapat komplot untuk mengumpul tandatangan untuk menjatuhkannya.

Bagaimanapun, perhimpunan agung tahunan parti itu kemudiannya berakhir dengan kedudukan Muhyiddin terjamin apabila perwakilan sebulat suara meluluskan resolusi untuk menamakannya sebagai calon pilihan Bersatu untuk perdana menteri.