Padah muat naik hantaran berunsur fitnah, selebriti dan aktivis masyarakat, Rafidah Ibrahim diberi tempoh selama tujuh hari bagi menyelesaikan bayaran ganti rugi berjumlah RM281,200 kepada ahli perniagaan, Datuk Haris Embong serta syarikatnya, Arisprop Holdings Sdn. Bhd.
Menurut laporan Utusan Malaysia, Rafidah akan berdepan tindakan lanjut sekiranya gagal melunaskan bayaran ganti rugi berjumlah RM281,200 kepada Haris dan syarikatnya, Arisprop Holdings, seperti yang diperintahkan Mahkamah Tinggi pada 31 Julai lalu.
Arahan itu dibuat melalui notis tuntutan rasmi yang dihantar peguam plaintif, Tetuan Izral Partnership pada 19 September, susulan notis pertama bertarikh 20 Ogos 2024 yang tidak mendapat maklum balas daripada pihak Rafidah.
Hantaran berunsur fitnah
Kes tersebut berpunca daripada dua hantaran dimuat naik Rafidah di media sosial pada September dan Oktober 2021, yang didapati berunsur fitnah hingga mencemarkan maruah plaintif serta syarikatnya.
Mahkamah mengarahkan Rafidah membayar RM100,000 kepada Haris, RM150,000 kepada Arisprop Holdings, selain kos guaman RM30,000 dan fi pengagih RM1,200.
Plaintif juga mengekalkan hak menuntut faedah lima peratus setahun ke atas jumlah ganti rugi sehingga penyelesaian penuh dibuat.
Haris yang juga Pengarah Urusan Arisprop Holdings berkata, pihaknya sudah memberi tempoh panjang kepada Rafidah untuk menyelesaikan tuntutan, namun perkara itu masih gagal dipenuhi.
“Tindakan sewajarnya akan diambil jika beliau gagal membuat pembayaran. Tuntutan ini adalah usaha saya dan syarikat untuk membersihkan imej daripada tuduhan fitnah yang dilemparkan.
“Ini perjuangan menuntut hak dan keadilan, selain menghormati keputusan mahkamah,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia (Zahra Mohamad Zhahir)