Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

MB Terengganu dikesan turun senyap-senyap ke lokasi runtuhan projek Pantai Batu Rakit


KUALA NERUS – Tindakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang turun padang meninjau runtuhan projek baik pulih Jalan Pantai Batu Rakit di sini menarik perhatian ramai apabila beliau hadir seorang diri.

Seorang pengguna Facebook, Eizam Edwan Zulkifli berkongsi pengalaman bertembung dengan Menteri Besar ketika berada di lokasi runtuhan itu.


Menurut hantaran tersebut, Ahmad Samsuri dilihat berada di lokasi kejadian untuk meninjau keadaan sebenar.

Beliau hadir dengan berpakaian santai, memakai topi, pelitup muka dan selipar sahaja tanpa ditemani pegawai atau wakil kerajaan negeri.

"Ingatkan siapa yang pakai pelitup muka tengah hari buta di kawasan runtuhan tebing ini, rupanya Menteri Besar Terengganu. Datang seorang diri saja," tulisnya menerusi hantaran di laman sosial Facebook pada Khamis.

Runtuhan yang melibatkan projek baik pulih Jalan Pantai Batu Rakit itu berlaku pada malam Rabu lalu dengan kerosakan sepanjang kira-kira 15 hingga 20 meter.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada hakisan di bahagian bawah benteng, walaupun ketika kejadian cuaca berada dalam keadaan baik serta tiada hujan atau fenomena air pasang besar.

Sebelum ini, Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Hanafiah Mat memaklumkan bahawa Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menjalankan pemeriksaan teknikal menyeluruh bagi mengenal pasti punca runtuhan serta menilai langkah pembaikan segera yang perlu dilaksanakan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Kawasan runtuhan telah dipasang penghadang keselamatan dan jalan kedua-dua arah turut ditutup kepada semua kenderaan bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.

Projek dengan nilai keseluruhan RM4.95 juta itu mula dilaksanakan oleh kontraktor SR Tech Resources sejak 8 April 2025 dan dijadualkan siap pada 7 Oktober depan.