SEREMBAN - Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas tiga pertuduhan merogol cucu kandung perempuannya berusia 10 tahun antara tahun 2020 hingga 2021.
Tertuduh, berusia 73 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut tiga pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh telah merogol cucu kandung perempuannya yang ketika kejadian berusia 10 tahun yang mana hubungan tertuduh dengannya tidak dibenarkan oleh undang-undang, hukum agama, adat dan kebiasaan untuk berkahwin.
Kesalahan itu dilakukan pada 22 Jun 2020 hingga 29 Julai 2020, antara jam 2.30 petang hingga 3 petang di sebuah rumah kedai di Putra Point Bandar Baru Nilai.
Bagi dua lagi pertuduhan di lakukan di sebuah rumah di Taman Desa Cempaka, Nilai antara November 2020 hingga Januari 2021, jam lebih kurang 7 malam hingga 10 malam.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta tidak kurang 10 sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni menawarkan jaminan RM50,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan.
Beliau berkata, tertuduh merupakan datuk kandung mangsa dan mangsa kini telah tinggal dengan ibunya di Seremban manakala tertuduh tinggal di Perak.
Tertuduh ketika diberikan peluang membuat rayuan memberitahu mahkamah yang dia tidak ada apa-apa yang mahu diperkatakan serta memaklumkan anaknya akan membayar jaminan.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM90,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran, tidak menganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta memberi kerjasama kepada polis sekiranya dipanggil.
Bagaimanapun mahkamah menolak permohonan anak tertuduh yang akan menjadi penjamin kerana dia merupakan salah seorang saksi yang akan dipanggil.
Sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam, 29 Oktober ini.