PUTRAJAYA: Timbalan Pendakwa Raya masih belum putuskan untuk menuduh mana-mana pihak berhubung pelucutan hak wang tunai lebih RM169 juta yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya menyerahkan aspek pertuduhan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk membuat keputusan lanjut.
"Pihak Timbalan Pendakwa Raya belum lagi membuat keputusan untuk menuduh mana-mana pihak dalam kes ini.
"Kita tidak meletakkan sebarang garis masa kerana Timbalan Pendakwa Raya adalah badan bebas manakala SPRM hanya menjalankan siasatan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mahkamah Sesyen semalam diberitahu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas setiausaha politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus tidak berhasrat untuk mencabar permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang tunai lebih RM169 juta yang disita SPRM.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat, memaklumkan perkara itu semasa prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mahadi berkata kedua-dua responden (Ismail Sabri dan Mohammad Anuar) melalui peguam mereka telah menghantar surat bertarikh 28 Ogos lalu kepada mahkamah bagi menyatakan pendirian terbabit.
Wang RM170 dikaitkan Ismail Sabri kini milik kerajaan
Mengulas lanjut, Azam berkata, wang tunai yang disita SPRM dan dipercayai dikaitkan dengan Ismail Sabri kini secara rasmi menjadi hak kerajaan serta sudah dimasukkan ke akaun kerajaan.
Katanya, perkara itu susulan keputusan responden iaitu Ismail Sabri yang tidak berhasrat mencabar permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang tunai berkenaan.
"Ini bermakna secara rasmi wang ini kini hak milik kerajaan dan proses untuk memasukkannya ke dalam consolidated fund (dana yang disatukan) akan dimulakan pada hari ini, mungkin dalam tempoh terdekat ia akan dikreditkan ke akaun kerajaan," katanya.
Pada 7 Julai lalu, SPRM memfailkan permohonan untuk melucut hak wang tunai lebih RM169 juta yang didakwa milik Ismail Sabri, yang disita daripada Mohammad Anuar, kepada kerajaan Malaysia.

