MUAR: Seorang pekerja penyelenggaraan lebuh raya dipenjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah atas pertuduhan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan yang diasuh isterinya, dua tahun lalu.
Hakim Sayani Mohd Nor membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes yang dihadapi tertuduh, Asran Mohd Tahir, 42.
Sayani berkata, keputusan dibuat selepas mahkamah meneliti serta mempertimbangkan keterangan saksi dan hujahan bertulis daripada kedua-dua pihak sepanjang perbicaraan.
Mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, sekali gus mensabitkan tertuduh dengan kesalahan amang seksual.
Sehubungan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan terhadap tertuduh dengan hukuman berkuat kuasa dari tarikh dia ditahan pada 25 September 2023.
Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama setahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Tertuduh yang juga bapa kepada dua anak didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang berada di bawah jagaan isterinya kerana ibu bapa mangsa bertugas di luar kawasan.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Simpang Renggam, Kluang antara jam 11 pagi hingga 6.45 petang pada 19 September 2023.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Syafie Naim.

