Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Keputusan rayuan halang semakan Titah Adendum diumum mahkamah pada Rabu


KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung rayuan Peguam Negara untuk menghalang Datuk Seri Najib Razak meneruskan semakan kehakiman berkaitan titah adendum akan menjadi tumpuan kes mahkamah sepanjang minggu depan, apabila ia ditetapkan Rabu ini.

Keputusan itu akan menentukan sama ada bekas Perdana Menteri itu dibenarkan membawa semakan merit di Mahkamah Tinggi untuk mengesahkan dakwaan terdapat titah daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16 sekaligus membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di kediamannya.


Jika rayuan dibenar, usaha Najib untuk memaksa kerajaan mengemukakan dan melaksanakan titah adendum bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah, tidak kesampaian.

Pada 9 Julai lalu, panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim selesai mendengar rayuan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah kemudian menangguhkan keputusan pada satu tarikh lain.

Ketika berhujah, Muhammad Shafee antara lain menyatakan bahawa Peguam Negara sepatutnya berterus-terang dari awal bahawa titah adendum berkenaan wujud.

Hujah beliau, Peguam Negara sewajarnya melaksanakan kewajipan secara jujur (duty of candour) pada peringkat prosiding, namun Mahkamah Tinggi sebaliknya bertindak membantah kebenaran semakan kehakiman yang dikemukakan Najib.

Duty of candour merujuk kepada kewajipan bersikap jujur dan terbuka dalam semakan kehakiman untuk memberikan maklumat yang benar dan lengkap termasuk berkaitan dokumen kepada mahkamah berhubung fakta yang relevan dengan isu yang dipertikaikan.

Ketika berhujah, Shafee menambah bahawa anak guamnya tidak mempunyai akses kepada dokumen berkenaan semasa permohonan awal kerana sifatnya yang sulit dan tidak didedahkan kepada umum.

"Anak guam saya sudah bertindak sewajarnya untuk mendapatkan pengesahan mengenai kewujudan dokumen berkenaan. Malah, dokumen itu hanya diperoleh oleh anak beliau, Datuk Mohamad Nizar, selepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan menolak permohonan semakan," katanya.

Shafee berkata, dokumen berkenaan turut disertakan dengan syarat bahawa ia tidak boleh digunakan tanpa keizinan Istana Negara. Hanya selepas keizinan diberikan pada 2 Disember 2024, Najib memfailkan afidavit dan menyerahkannya kepada mahkamah.

"Tindakan segera ini menunjukkan tiada sebarang kelewatan tidak munasabah. Malah, ia mencerminkan bahawa anak guam kami bertindak melebihi tanggungjawab undang-undang bagi membantu mahkamah ini," katanya.

Pada 2 Julai lalu, Mohd Dusuki dalam hujahannya berkata Najib dan anaknya Mohamad Nizar tidak mengemukakan bukti munasabah berkaitan kewujudan titah adendum, walhal berpeluang berbuat demikian di peringkat permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Hujah beliau, Mohd Nizar yang juga Exco Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, berpeluang mendapatkan titah itu kerana beliau kerap menghadiri mesyuarat dan pertemuan dengan Sultan Pahang.

Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan berpendirian, titah adendum daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu wujud yang membolehkan beliau menjalani baki tempoh hukuman penjara secara tahanan di rumah.

Beliau kini menjalani hukuman penjara enam tahun di Penjara Kajang, Selangor selepas disabitkan bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.