
KOTA BHARU – Dua beradik, anak kepada seorang doktor di Ketereh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas pertuduhan berasingan mengedar dadah jenis kanabis berjumlah 35.58 kilogram (kg) pada 5 Ogos lalu.
Tertuduh, Ahmad Ammar Rusydi Mohd Hanafi, 23, dan abangnya, Mohammed Hibatul-Alimi, 34, didakwa di hadapan Majistret Rais Imran Hamid serta Majistret Wan Mohd Izzat Wan Abdullah.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-duanya selepas pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan terhadap Ahmad Ammar Rusydi, dia didakwa mengedar 14.78 kg dadah jenis kanabis di sebuah rumah di Kampung But, Ketereh pada jam 4.30 pagi.
Bagi pertuduhan terhadap Mohammed Hibatul-Alimi pula, dia didakwa mengedar 20.8 kg dadah jenis sama pada waktu, tarikh dan tempat serupa.
Pertuduhan ke atas mereka dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan maksimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli dan Nur Haziqah Hassan, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Muhammad Hasif Hasan.
Kes ditetapkan pada 16 dan 27 Oktober ini untuk sebutan semula sementara menunggu laporan kimia.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen di sini, Ahmad Ammar Rusydi turut didakwa dengan satu lagi pertuduhan iaitu memiliki senjata api jenis Glock AEKZ847 Mariner 9x19 USA berserta 16 peluru hidup di lokasi, masa dan tarikh sama.
Dia mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah.
Bagi tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta sebatan minimum enam kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh juga diwakili peguam Muhammad Hasif.
Bagi kes ini, mahkamah menetapkan sebutan semula pada 22 September depan dan kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin.