
AWESOME TV AMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG TERHADAP DAKWAAN FITNAH OLEH TIGA SELEBRITI TEMPATAN
Kuala Lumpur, 7 Ogos 2025 – Pihak Awesome TV hari ini mengesahkan bahawa satu tindakan undang-undang telah difailkan terhadap tiga selebriti tempatan berikutan kenyataan berunsur fitnah yang disebarkan melalui laman media sosial masing-masing.
Tindakan ini diambil susulan penyebaran dakwaan tidak berasas oleh Mohamad Amirullah Azmi (Amir Raja Lawak), Mohamad Ikhtiarudin Bin Naina Mohamad (Mamak Puteh), dan Abu Musarrif bin Abu Bakar (Abu Mamu) yang menuduh Awesome TV gagal melunaskan bayaran bagi penglibatan mereka dalam program-program televisyen yang disiarkan di Awesome TV.
Pihak Awesome TV ingin menjelaskan bahawa semua program yang disiarkan di saluran kami diterbitkan sepenuhnya oleh syarikat produksi luar (production house) dan sebarang urusan kontrak serta pembayaran artis adalah tanggungjawab penuh pihak produksi berkenaan.
Kenyataan fitnah yang dikeluarkan oleh ketiga-tiga individu tersebut telah menjejaskan imej serta reputasi Awesome TV.
Lebih mengejutkan, isu ini turut dibawa ke Parlimen oleh Syereleena Abdul Rashid (Ahli Parlimen Bukit Bendera) tanpa sebarang pemeriksaan dan fakta yang lebih teliti, sekali gus mengundang salah faham dan memberi gambaran yang tidak tepat terhadap pihak Awesome TV. Sebagai ahli parlimen, beliau sepatutnya berlaku adil menyiasat fakta sebelum mengeluarkan kenyataan yang tidak benar.
Justeru itu, pihak Awesome TV telah mengarahkan firma guaman Shafie & Co untuk memfailkan saman berunsur fitnah terhadap mereka bagi melindungi integriti Awesome TV.
Awesome TV memandang serius sebarang tuduhan yang tidak berasas dan sebarang usaha untuk mencemarkan nama baik Awesome TV.
Awesome TV kekal komited untuk menyediakan kandungan berkualiti kepada rakyat Malaysia dan akan terus mempertahankan hak serta reputasi kami melalui saluran undang-undang yang sewajarnya.
Kerana rakyat keutamaan kami.
TAMAT
Kuala Lumpur
7 Ogos 2025