Bersatu Port Dickson meluluskan usul supaya Hamzah Zainudin mengambil alih tugas mengepalai parti itu manakala penyandang jawatan presiden sekarang, Muhyiddin Yassin, dilantik sebagai penasihat.
Timbalan Ketua Bersatu Port Dickson, Akkil Aizat Othman, turut mendakwa barisan kepimpinan semasa parti itu dianggap gagal menangani isu rakyat.
Menggunakan analogi perlawanan badminton, dia berkata, keadaan yang berlaku sekarang kira-kira sama dengan pemain melakukan servis yang tidak betul menyebabkan bulu tangkis jatuh ke tepi gelanggang, sekali gus memberikan mata kepada pihak lawan.
"Jadi, saya merasakan inilah masa yang sesuai […] timbalan presiden untuk menjalankan tanggungjawab sebagai ketua pembangkang, dan peralihan kuasa daripada presiden kepada timbalan presiden dapat dilaksanakan dengan lancar," katanya di platform sosial TikTok, hari ini.
Dia juga berkata cadangan itu tidak bermaksud Bersatu Port Dickson mahu mengetepikan Muhyiddin, sebaliknya bekas perdana menteri itu dilantik sebagai penasihat supaya dapat membimbing Bersatu ke Putrajaya.
Untuk rekod Bersatu Port Dickson diketuai oleh Badrul Hisham Shaharin.
Semalam, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN menolak dakwaan bahawa PAS menyokong rancangan untuk melemahkan penguasaannya terhadap pakatan pembangkang.
Muhyiddin berkata dia mendapat sokongan PAS - termasuk daripada presidennya Abdul Hadi Awang - untuk terus berkhidmat sebagai Pengerusi PN.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz berkata majoriti akar umbi parti itu tetap menyokong Muhyiddin untuk memimpin parti sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Katanya, hal itu berdasarkan pengumuman tidak rasmi daripada pemimpin parti di peringkat bahagian di seluruh negara.
"Ibu pejabat parti dalam proses mengumpulkan semua usul daripada setiap bahagian dan akan meneliti secara keseluruhan usul-usul yang dibawa oleh setiap bahagian di seluruh negara.
"Ada 202 bahagian di seluruh negara. Setakat ini daripada apa yang dimaklumkan secara tidak rasmi oleh bahagian-bahagian di seluruh negara, majoriti ahli akar umbi menyokong penuh kepimpinan Muhyiddin untuk terus memimpin parti sehingga PRU ke-16,” katanya.
Pada masa sama bekas setiausaha akhbar Annuar Musa itu mengingatkan, selain memperkukuhkan parti, fokus Bersatu ketika ini ialah mendesar Anwar Ibrahim agar meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.
“Itu menjadi keutamaan ketika ini," katanya.
PAS sebelum ini didakwa mengutarakan cadangan agar struktur PN disusun semula dan Hamzah diberikan kuasa operasi yang lebih besar.
Di bawah cadangan perubahan itu, sebuah jawatankuasa eksekutif yang diterajui oleh Hamzah akan dibentuk untuk mengawasi operasi PN, manakala presiden PAS, Bersatu, Gerakan, dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) akan mengekalkan peranan mereka dalam majlis tertinggi sedia ada.
Menurut sumber, langkah itu direka untuk meletakkan Hamzah sebagai calon perdana menteri PN, dan bersedia untuk mengambil tampuk jika gabungan itu menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menafikan rancangan sedemikian sedang dilakukan.