Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

PAS bina semula mercu tanda 'Allah Peliharakan Terengganu', kos cecah RM5 juta


KUALA TERENGGANU - Pembinaan semula mercu tanda ikonik 'ALLAH Peliharakanlah Terengganu' yang terletak di Bukit Besar di sini bakal dilaksanakan tidak lama lagi dengan anggaran kos keseluruhan mencecah RM5 juta.

Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Hanafiah Mat berkata, kerja-kerja perobohan struktur lama telah selesai dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 13 Mei lalu dengan kos sebanyak RM250,000.


"Setakat ini, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah bersetuju dengan reka bentuk baharu yang dicadangkan.

"Keseluruhan projek ini dijangka menelan kos RM4.75 juta termasuk kerja-kerja perobohan menjadikan jumlah keseluruhan sekitar RM5 juta," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hilmi Harun (Pas-Manir) berhubung status dan kos baik pulih mercu tanda berkenaan.

Menurut Hanafiah, mercu tanda tersebut dibina pada tahun 1991 oleh JKR Negeri Terengganu dengan kos pembinaan sekitar RM1.3 juta menggunakan struktur kerangka keluli.

"Struktur asal mercu tanda ini telah melebihi jangka hayat reka bentuk iaitu lebih 30 tahun dan tidak melalui proses penyelenggaraan struktur secara berkala.

"Ia juga terdedah kepada kesan pengaratan yang serius akibat aliran udara laut kerana lokasinya yang terbuka di atas bukit," katanya.

Beliau berkata, setakat ini, kerajaan negeri telah membelanjakan sebanyak RM1.57 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan mercu tanda berkenaan sejak ia mula dibina.

"Walaupun kerja-kerja naik taraf pencahayaan dan penyelenggaraan elektrikal telah dilaksanakan sebelum ini oleh JKR Negeri (Cawangan Kejuruteraan Elektrik), ia terpaksa dihentikan kerana struktur platform tidak lagi selamat untuk kerja penyelenggaraan berkala.

"Keadaan itu bukan sahaja berisiko kepada keselamatan struktur tetapi turut membahayakan pasukan penyelenggara yang bertugas," ujarnya.