SUBANG JAYA: Penuntut yang leka dan khayal dalam 'private party' atau pesta persendirian selepas mengambil dadah di sebuah rumah banglo di daerah ini mengundang padah apabila diserbu polis semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Azlan Wan Mamat berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menjalankan serbuan itu jam 12.30 tengah malam.
Menurutnya, hasil pemeriksaan dapati seramai 38 orang terdiri daripada 25 warga negara tempatan dan 13 warga asing menyertai 'private party' terbabit.
Kebanyakan yang berhibur adalah daripada golongan remaja yang juga penuntut institut pengajian tinggi swasta (IPTS) berusia 18 hingga 27 tahun.
"Dalam serbuan terbabit polis menahan empat lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 25 tahun yang disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.
"Sebanyak 6.5 gram disyaki dadah jenis ganja dan 1.7 gram disyaki dadah jenis ketamin dirampas dalam serbuan itu," katanya dalam satu kenyataan.
Wan Azlan berkata, kesemua pengunjung dibawa ke BSJN IPD Subang Jaya untuk menjalankan ujian air kencing.
"Hasil ujian air kencing mendapati seramai sembilan warga tempatan dan tiga warga negara asing positif dadah. Kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.