Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Mahkamah arah ibu Zayn Rayyan bela diri, bapa bebas



PETALING JAYA – Bapa Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari kelihatan tenang, selepas Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin melepaskan dan membebaskannya daripada satu kes mengabai kanak-kanak autisme itu, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Ismanira Abdul Manaf gagal menahan air mata apabila keputusan berkenaan tidak memihak kepadanya.


Keadaan mahkamah yang senyap bertukar penuh emosi ketika ahli keluarga termasuk datuk arwah, Zahari Mohd Reba, 56, berkumpul bersama ahli keluarga yang menangis sambil memeluk Ismanira.

Ibu kepada dua anak itu juga gagal menahan perasaan semasa diajukan soalan mengenai Zayn Rayyan, oleh peguamnya Haresh Mahadevan.

Ini memaksa Hakim, Dr Syahliza Warnoh menangguhkan prosiding beberapa minit bagi memberi ruang kepada wanita itu bertenang.

Sejurus prosiding bersambung jam 12.23 tengah hari, Haresh memohon kepada mahkamah supaya prosiding bersambung selepas waktu rehat.

Mahkamah membenarkan perkara itu dan prosiding dijadualkan bermula jam 2 petang ini.

Pada pagi Isnin, mahkamah membebaskan Zaim Ikhwan berhubung kes terbabit, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Berbeza dengan Ismanira apabila mahkamah memerintahkannya membela diri atas pertuduhan berkenaan, di bawah seksyen terbabit.

Selain Haresh, pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu turut diwakili peguam, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.

Pendakwaan pula dikendalikan beberapa Timbalan Pendakwa Raya iaitu Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.

Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pengabaian terhadap anak mereka di Mahkamah Sesyen di sini.

Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, kerana telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam keesokannya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, pada jam 10 malam.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang sebelum ditemui terbaring kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.