Rafizi Ramli menyindir tiga pendirian PAS berhubung isu cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan badan kehakiman, yang menurutnya berubah-ubah dalam tempoh seminggu.
Bekas timbalan presiden PKR itu berkata perubahan pendirian PAS dalam tempoh singkat mencerminkan kecenderungan parti itu untuk menjatuhkan hukuman berbeza-beza mengikut keadaan, asalkan menguntungkan mereka.
"Mula-mula, Tuan Ibrahim Tuan Man menetapkan syarat saya kena turun himpunan mereka sebelum Ahli Parlimen PN menyokong syor saya agar satu suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan mengenai campur tangan dalam badan kehakiman.
"Selepas kena kecam dengan rakyat, Fadhli Shaari pula sebut itu bukan pendirian PAS. PAS sebenarnya menyokong cadangan saya.
"Sehari selepas itu, Takiyuddin Hassan pusing lagi kata pembangkang menolak cadangan itu.
"Dalam seminggu, PAS berubah pendirian tiga kali. Ini mirip kepada kebolehan PAS menjatuhkan hukuman yang berbeza-beza mengikut keadaan, asalkan boleh tunggang," kata Rafizi yang juga ahli parlimen Pandan pada satu hantaran di Facebook, hari ini.
Isu tersebut timbul selepas laporan Sinar Harian pada 8 Julai melaporkan PAS bersedia menyokong cadangan Rafizi, dengan syarat ahli parlimen Pandan itu menyertai Himpunan Turun Anwar Ibrahim yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini.
Namun, kenyataan Tuan Ibrahim itu menerima kecaman daripada Rafizi yang mempersoalkan logik meletakkan syarat sedemikian.
Tidak lama kemudian, Ketua Penerangan PAS Fadhli Shaari tampil menjelaskan bahawa parti itu menyokong cadangan penubuhan RCI tanpa sebarang syarat, sekaligus menjarakkan kenyataan Tuan Ibrahim.
Bagaimanapun, pada 11 Julai, pendirian berubah sekali lagi apabila ahli parlimen PN menyatakan tidak dapat menyokong cadangan tersebut.
Ketua Whip Ahli Parlimen PN Takiyuddin Hassan berkata keputusan itu selaras dengan kenyataan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin yang meragui kesediaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membenarkan RCI ditubuhkan bagi menyiasat dirinya sendiri.
Mengulas lanjut, Rafizi menegaskan kebebasan badan kehakiman isu serius dan tidak wajar dijadikan alat permainan politik.
"Akhirnya, yang lebih lantang bersuara adalah backbencher kerajaan sebab pembangkang hanya berminat untuk tebuk atap supaya mereka boleh jadi menteri balik.
"Memang susah untuk tidak menunggang kalau satu-satunya strategi politik yang ada adalah menunggang.
“Tapi hati-hati, kalau PAS salah tunggang, nanti nampak bangang," kata Rafizi lagi.