KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memperkenankan pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.
Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam Facebook Badan Kehakiman Malaysia, tengah malam ini, Seri Paduka membuat keputusan itu atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, baginda juga memperkenankan pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.
Seterusnya, Datuk Azizah Nawawi pula sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak bagi menggantikan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak yang bakal bersara.
"Majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat serta menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong akan diadakan pada 28 Julai 2025 di Istana Negara," menurut kenyataan itu lagi.
Wan Ahmad Farid menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib pada 2 Julai lalu selepas memegang jawatan Ketua Hakim Negara selama enam tahun.
Susulan persaraan Tengku Maimun, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, telah diumum menjalankan kuasa dan tugas jawatan Ketua Hakim Negara hingga jawatan itu diisi.
Sementara itu, Abu Bakar pula menggantikan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang bersara wajib pada 3 Julai lalu.
Susulan persaraan Abang Iskandar, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof, dilantik untuk menjalankan kuasa dan tugas Presiden Mahkamah Rayuan hingga jawatan itu diisi.
INFO:
Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh
- 62 tahun (dilahirkan pada 13 November 1962)
- dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 12 November 2024
- dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2019
- dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 16 Disember 2015
- pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan pernah menjadi ahli UMNO tetapi meninggalkan arena politik pada 2013
- memegang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri dari 2008 hingga 2009, serta menjadi senator dari 2005 hingga 2009
Datuk Abu Bakar Jais
- dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 13 Jun 2023
- dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 5 Disember 2019
- dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 21 Mac 2016
- dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 8 Julai 2013
Datuk Azizah Nawawi
- dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 8 Ogos 2019
- dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 12 September 2014
* dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 November 2012