Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius isu pengesanan lebih 100,000 alamat Protokol Internet (IP) dari Malaysia yang mengakses laman web berkaitan pornografi kanak-kanak sepanjang tahun lalu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, tindakan tegas serta menyeluruh sudah dan sedang diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selain itu katanya, kerjasama dengan agensi berkaitan juga dilaksanakan bagi membanteras jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian termasuk kes membabitkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak.
Katanya, antara usaha dan tindakan yang dilakukan adalah, PDRM dengan kerjasama agensi lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melaksanakan operasi bersepadu melalui Op Pedo Bersepadu PDRM-MCMC untuk melumpuhkan kegiatan ini.
"Di dalam operasi ini, seramai 13 individu ditangkap dan didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan," katanya sewaktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid mengenai usaha dilaksanakan KDN susulan pengesanan lebih 100,000 alamat IP dari Malaysia yang telah mengakses laman web pornografi kanak-kanak bagi tahun 2024.
Mengulas lanjut, Shamsul berkata, pelaksanaan operasi bersepadu di peringkat antarabangsa pula membabitkan enam buah negara iaitu Malaysia, Singapura, Thailand, Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun juga dilaksanakan melalui 'Operation Cyber Guardian' membawa kepada tangkapan empat individu dan didakwa di bawah seksyen yang sama.
Katanya, PDRM juga bekerjasama rapat bersama MCMC untuk menyekat laman web yang memaparkan kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak.
"Sehingga kini, ratusan laman web yang dikenal pasti telah disekat dan langkah penyekatan dijalankan secara berterusan," katanya.
Shamsul berkata, PDRM turut bekerjasama bersama agensi penguatkuasaan undang-undang global dengan menganggotai Violent Crime against Children International Task Force (VCACITF) yang diterajui oleh Federal Bureau of Investigation (FBI).
"(Ia) memberi tumpuan kepada usaha memerangi eksploitasi seksual dan pemerdagangan kanak-kanak secara dalam talian," katanya.