KUALA LUMPUR – Hutang Kerajaan Persekutuan mencatat RM1.3 trillion sehingga akhir Jun 2025 berbanding akhir 2024 sebanyak RM1.25 trilion.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, peningkatan ini disebabkan oleh keperluan kerajaan untuk membiayai defisit fiskal bagi menampung perbelanjaan pembangunan (DE).
Bagaimanapun, katanya, nilai asset kewangan isi rumah melebihi jumlah hutang, sekali gus menandakan kedudukan kewangan rakyat masih kukuh.
Beliau menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP, Beruas) yang meminta menyatakan rancangan dan tindakan yang akan diambil untuk memastikan hutang kerajaan termasuk gerenti dan liabiliti tidak akan terus bertambah dan kalau boleh dikurangkan.
Hui Ying berkata, pada tahun 2024, pinjaman kasar Kerajaan Persekutuan adalah berjumlah RM197.5 billion, lebih rendah berbanding RM226.6 bilion bagi tempoh yang sama pada 2023.
Trend ini selaras dengan usaha konsolidasi fiskal yang menunjukkan pengurangan iaitu daripada 5.5% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)pada 2022 kepada 4.1% KDNK pada 2024 dan diunjur terus berkurang kepada 3.8% KDNK pada tahun 2025.
Ini selari dengan komitmen kerajaan bagi memastikan sasaran defisit fiskal di bawah kadar 3% daripada KDNK dan nisbah hutang kepada KDNK tidak melebihi 60% dapat dicapai dalam tempoh jangka sederhana di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (Akta 850).
Oleh itu, kadar peningkatan hutang telah menunjukkan trend penurunan daripada 10.2% pada tahun 2022 kepada 6.4% pada 2024 dan dijangka terus berkurang kepada sekitar 6% bagi 2025.
Menurutnya, jumlah liabiliti Kerajaan Persekutuan sehingga akhir Mac 2025 pula sebanyak RM384.6 bilion berbanding RM384.8 bilion pada akhir 2024.
Tambah beliau, pinjaman kerajaan digunakan secara berhemat untuk membiayai projek-projek pembangunan strategik seperti infrastruktur, pendidikan, kesihatan, serta program perlindungan sosial. – MalaysiaGazette