Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Jual Dadah: Ramai 'founder' di Kelantan dalam radar polis


KOTA BHARU: "Apa yang saya sampaikan sebelum ini bukan cakap kosong... ramai lagi dalam pemerhatian polis."

Demikian penegasan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat yang menekankan bahawa ramai ahli perniagaan kini dalam radar pemerhatian polis kerana disyaki terbabit kegiatan jenayah, termasuk berkait dadah.


Katanya, kebanyakan mereka dipercayai menggunakan modus operandi sama dengan berselindung di sebalik perniagaan tertentu.

Malah, beliau berkata, penahanan enam suspek disyaki memiliki 35.4 kilogram (kg) dadah jenis pil kuda dianggarkan bernilai RM5.04 juta di Pasir Mas, baru-baru ini, turut membuktikan kenyataannya sebelum ini bukan cakap kosong.

"Mereka itu hendak cepat kaya, kononnya berniaga dan menunjukkan kemewahan. Modus operandi kebanyakan mereka juga sama... disebabkan hendak cepat kaya, jual dadah," katanya ketika dihubungi.

Semalam, media melaporkan polis menahan enam suspek, termasuk sepasang suami isteri, disyaki memiliki pil kuda lebih 35.4kg dianggarkan bernilai RM5.04 juta di Jalan Gajah Mati, Kampung Banggol Chicha di Pasir Mas, 27 Jun lalu.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali, dipetik berkata semua suspek itu membabitkan lima lelaki dan seorang wanita berusia 25 hingga 39 tahun yang dipercayai terbabit kegiatan pengedaran dadah sejak 2022.


Mat Zani berkata, pasangan suami isteri berusia 34 tahun itu adalah suspek utama yang dipercayai cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan berselindung di sebalik perniagaan kedai makan, pusat kecantikan dan perniagaan dalam talian.

Hasil serbuan dilakukan, polis turut menyita harta dianggarkan bernilai lebih RM1.1 juta membabitkan kereta mewah, motosikal, barang kemas dan beg berjenama.

Pada Mac lalu, Polis Kelantan mendedahkan ramai pengasas produk dan pempengaruh di negeri ini disyaki terbabit kegiatan pengedaran dadah dan pengubahan wang haram.

Mohd Yusoff dipetik berkata, ia berdasarkan beberapa tangkapan yang dilakukan sebelum ini.