KUALA LUMPUR – Bekas pembantu penyelidik kepada seorang ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther, dilepaskan dan dibebaskan (DNA) oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis daripada dua pertuduhan membabitkan pengedaran dadah jenis kanabis dan pemilikan dua pistol tiruan.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Yusoff, 32.
Ketika membacakan keputusan, beliau menyatakan bahawa adalah tidak selamat untuk memanggil tertuduh membela diri.
“Keadaan tertentu dalam kes ini menimbulkan persoalan sama ada tertuduh mempunyai kawalan eksklusif terhadap senjata dan dadah tersebut.
“Syak wasangka semata-mata tidak mencukupi untuk membuktikan kawalan tertuduh terhadap barangan berkenaan. Oleh itu, kamu dibebaskan tanpa perlu membela diri,” katanya.
Mendengar keputusan tersebut, Yusoff yang juga cucu kepada aktivis pengguna terkenal Pulau Pinang, Allahyarham SM Mohamed Idris, dilihat meraup muka tanda kesyukuran.
Terdahulu, pada 12 September 2024, Yusoff didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram di dalam kenderaan yang dinaikinya, di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, pada jam 10.15 pagi, 6 September 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.
Yusoff turut berdepan satu lagi pertuduhan berasingan kerana memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara, pada jam 9.25 pagi, hari yang sama.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000, atau kedua-duanya sekali.
Pada 12 November 2024, Mahkamah Majistret membenarkan permohonan untuk memindahkan kes pengedaran dadah ke Mahkamah Tinggi bagi perbicaraan.
Dalam kes ini, tertuduh diwakili oleh peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman.
Prosiding ditangguhkan sementara pihak pendakwaan dan pembelaan berbincang di dalam kamar bagi menetapkan tarikh perbicaraan selanjutnya.