TANGKAK: Bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dinasihatkan menulis surat rayuan berhubung penggantungannya selama enam tahun oleh parti.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata perkara sama dilakukan bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebelum Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bersetuju menarik balik penggantungannya.
Tajuddin digantung enam tahun bermula September 2022 kerana kesalahan mengkritik parti.
Mohamad berkata, bagaimanapun terpulang kepada MKT UMNO untuk menarik semula penggantungan keahlian Ahli Parlimen Sembrong itu.
"Tulislah surat biar MKT buat keputusan. MKT ada kuasa untuk memendekkan hukuman. Kalau MKT kata ok... ok la.
"Macam penggantungan keahlian Tajuddin (Abdul Rahman), dia datang minta tolong dengan saya, saya kata tulis surat kepada parti untuk rayuan.
"Dia tulis surat dan lulus dengan penggantungan ditarik balik, apa masalahnya," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Ledang di Tangkak, sini hari ini.
Sebelum ini, ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjangkakan isu penggantungan Hishammuddin dibincangkan dalam mesyuarat MKT esok.
Namun, Ahmad Maslan, berkata perbincangan itu dijalankan sekiranya Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membangkitkan perkara itu.
Media sebelum ini melaporkan, UMNO Bahagian Sembrong mencadangkan penggantungan keahlian Hishammuddin ditarik semula, selaras matlamat memperkukuh parti di semua peringkat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Hishammuddin digantung keahlian UMNO selama enam tahun bermula 27 Januari 2023, atau dua penggal pemilihan MKT UMNO.