Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tutup pintu rundingan bahagi kerusi dengan PH di PRN Melaka -UMNO Jasin


JASIN: UMNO Bahagian Jasin meluluskan usul menutup pintu rundingan dengan mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan bagi membincangkan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan berlangsung tahun depan.

Usul khas UMNO bahagian itu yang dibacakan oleh Ketua Penerangannya, Zulkifli Kalil, turut memutuskan supaya semua kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN) akan kekal ditandingi pada PRN berkenaan nanti.


Beliau berkata, usul terbabit adalah penting kerana ia menjadi penanda aras kepada UMNO dan BN Melaka yang memenangi PRN lalu dengan majoriti tiga perempat membabitkan 21 daripada 28 kerusi DUN, sekali gus menjadi parti dominan di negeri ini.

"Kepimpinan Pakatan Harapan (PH) di Melaka harus faham bahawa UMNO dan BN negeri mengambil semangat Kerajaan Perpaduan pada peringkat pusat.

"Oleh itu, 'rumah baharu' yang kita bina bersama ini sedang utuh dan jangan dirobek-robek atau jangan diguris hati orang Melayu yang sangat setia berjuang bersama demi agama, bangsa serta tanah air," katanya.

Dengan mengambil semangat dan memegang janji Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, serta Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, beliau menegaskan 21 kerusi dikuasai BN itu wajib dipertahankan.

"Sebarang perbincangan berkaitan pembahagian kerusi terbabit tidak akan dilayan. Ini adalah muktamad," katanya.

Usul berkenaan mendapat sokongan 630 perwakilan yang hadir pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jasin di Dewan Alamanda, di sini, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka, dengan turut dihadiri Dr Muhamad Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO.

Media sebelum ini melaporkan polemik isu perkongsian kerusi antara BN dengan PH di Melaka yang dicetuskan DAP negeri selepas parti itu meluluskan resolusi strategi 14 BN + 14 PH pada PRN Melaka akan datang.

Susulan itu, Dr Muhamad Akmal dipetik mengingatkan PH Melaka supaya tidak terlalu berharap untuk bertanding di kerusi DUN dimenangi BN pada PRN lalu, kerana BN yang mendominasi kerusi DUN di Melaka ketika ini tidak akan melepaskan kerusi terbabit kepada PH.

Melaka mempunyai 28 DUN membabitkan 21 dikuasai BN, PH (lima) dan dua kerusi bawah Perikatan Nasional (PN).

Untuk rekod, tempoh penggal DUN Melaka dijadualkan berakhir pada November tahun depan.



­