Skandal Lebuh Raya: Pasukan Taktikal SPRM serbu bilik rahsia Tan Sri simpan aset dan senjata
Labels:
Isu Semasa
Kuala Lumpur: Kediaman pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri yang dikaitkan dengan kes penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang disyaki mempunyai bilik rahsia untuk menyimpan aset atau barangan berharga hasil penyelewengan itu.
Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menggunakan bantuan Pasukan Taktikal SPRM atau Anti Corruption Tactical Squad (ACTS) bagi merakam keterangan individu berkenaan.
Ia selepas mengesyaki terdapat bilik rahsia menyimpan senjata di kediaman individu berkenaan di Bandar Tasik Selatan, Cheras di sini.
Sumber berkata, kehadiran sepasukan anggota ACTS bersama dua pegawai penyiasat adalah bagi membantu menggeledah bilik tertentu yang disyaki menjadi tempat simpanan aset atau barangan berharga hasil daripada penyelewengan berkenaan.
Difahamkan, bantuan pasukan berkenaan demi keselamatan semua pihak kerana disyaki terdapat bilik yang menyimpan senjata dalam kediaman itu.
Hari ini media melaporkan, sepasukan anggota ACTS dengan empat buah kenderaan tiba di kediaman Tan Sri berkenaan pagi tadi.
Proses rakaman keterangan pemegang konsesi lebuh raya itu diteruskan hari ini dan setakat ini SPRM juga sudah merekodkan keterangan 53 saksi bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes.
Dalam pada itu, salah satu pintu masuk kawasan kediaman ahli perniagaan itu ditutup oleh polis bantuan sebuah syarikat.
Kon dan penghadang diletakkan di pintu masuk ke kawasan itu, dengan anggota polis bantuan yang berada di sana juga menghalang petugas media daripada menghampiri kawasan berkenaan.
Pada 3 Jun lalu, SPRM menyenaraikan sitaan harta berjumlah kira-kira RM143 juta yang dirampas dalam siasatan penyelewengan dana sukuk untuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang, membabitkan seorang kenamaan bergelar Tan Sri.
Pasukan siasatan SPRM juga sedang mengesan kenderaan mewah dan hartanah milik Tan Sri terbabit di dalam serta luar negara, termasuk di London dan Switzerland.